KUALA LUMPUR, 11 Mei  — Keputusan kerajaan untuk melonggarkan sekatan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Januari (PKP 2.0) telah memainkan peranan penting dalam mengurangkan impak dan tahap penguncupan ekonomi Malaysia pada suku pertama 2021.

Malaysia mencatatkan penguncupan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 0.5 peratus pada suku pertama 2021, tanda-tanda pemulihan daripada penurunan sebanyak 3.4 peratus pada suku tahun sebelumnya, dengan peningkatan dilihat dalam semua sektor ekonomi.

Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata hasilnya adalah lebih baik berikutan pemulihan dapat dilihat selepas kerajaan membenarkan perniagaan beroperasi semasa PKP 2.0, berbanding PKP 1.0 pada tahun lepas.

Menurut Bank Negara Malaysia (BNM), semua sektor ekonomi mencatatkan peningkatan pada suku pertama 2021 diterajui oleh sektor pembuatan, yang naik kepada 6.6 peratus daripada 3.0 peratus pada suku keempat 2020.

Bank pusat itu berkata Malaysia dijangka mencapai pertumbuhan KDNK antara 6.0 peratus dan 7.5 peratus pada 2021.

Mengenai masa depan, Mohd Afzanizam berkata KDNK pada suku kedua 2021 akan mencatatkan bacaan yang baik berdasarkan faktor asas rendah dicatatkan pada tahun lepas apabila ekonomi merosot sebanyak 17.1 peratus pada suku tahun itu.

“Walaupun kita dijangka menyaksikan pemulihan yang besar pada suku kedua, trend kadar asas masih kurang menggalakkan terutamanya apabila PKP 3.0 telah dikuatkuasakan dari 12 Mei hingga 7 Jun,” katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun, beliau mengunjurkan terdapat tarikan yang baik dari luar negara berikutan negara mendapat manfaat daripada pemulihan ekonomi global.

“Ini adalah ekonomi dua kelajuan iaitu sektor luaran ke arah pemulihan manakala dalam negara, sektor-sektor utama seperti industri berorientasikan perkhidmatan akan berusaha untuk mencatatkan pemulihan yang mampan berikutan kadar jangkitan yang tinggi dan langkah-langkah PKP yang berikutnya akan mengehadkan pergerakan manusia,” katanya.

Oleh itu, katanya dasar monetari dijangka kekal akomodatif dan justeru itu, perbincangan mengenai kemungkinan kenaikan kadar dilihat agak awal pada masa ini.

“Kami turut menjangka BNM mungkin mahu mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) stabil berdasarkan tanda-tanda pemulihan terutamanya dari luar negara,” katanya.

Sementara itu, Pakar Ekonomi Bersekutu Moody’s Analytics Sonia Zhu berkata walaupun penguncupan KDNK secara berperingkat, situasi dijangka terus lemah pada suku tahun akan datang berdasarkan kemerosotan penggunaan yang berterusan.

“Sebagai ekonomi yang dipacu oleh domestik, kekuatan sektor luaran tidak mencukupi untuk ekonomi pulih sepenuhnya daripada paras rendah semasa pandemik ini,” katanya dalam nota hari ini.

Zhu berkata dorongan yang lebih kuat terhadap vaksinasi yang lebih luas dan imuniti kelompok akan menjadi kunci kepada pemulihan domestik dan perlu memudahkan peningkatan semula ekonomi.

“Pada masa ini, hanya 3.4 peratus daripada jumlah penduduk Malaysia telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin COVID-19.

“Kadar vaksinasi yang perlahan, selain ketidakpastian mengenai vaksin, menimbulkan keraguan mengenai keupayaan kerajaan untuk mencapai sasaran imuniti kelompok pada akhir 2021, menyebabkan imbangan risiko kepada penurunan pada suku tahun berikutnya,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here