KUALA LUMPUR, 11 Mei — Malaysia dan Itali dapat saling mempelajari pengalaman dan pendekatan dalam memerangi COVID-19, kata Duta Besar Itali ke Malaysia Cristiano Maggipinto.

Beliau menekankan bahawa perkongsian maklumat di peringkat antarabangsa perlu diperkuat, kerana pelbagai varian penyakit telah muncul, yang boleh melanjutkan tempoh COVID-19.

Menurut Maggipinto semakin banyak kita mengetahui mengenai virus dan penyebab penyakitnya, semakin kita mampu melawan penyakit ini.

“Kita semua boleh saling belajar dari pengalaman masing-masing mengenai cara merawat penyakit ini,” katanya kepada Bernama dalam satu temubual baru-baru ini.

Maggipinto berkata Itali dan Malaysia telah menjalin kerjasama mengenai COVID-19 sejak awal pandemik ini dan kedua-dua negara saling berhubung dalam aspek tersebut.

“Kami juga mengadakan pertemuan dalam talian dengan pakar dari Itali, Malaysia dan ASEAN mengenai pengurusan pandemik dan bagaimana bertindak balas terhadapnya dan sebagainya,” tambahnya.

Ditanya mengenai situasi COVID-19 di Itali, beliau mengatakan kerajaan secara beransur-ansur meringankan sekatan pergerakan dari 26 April setelah negara tersebut melaporkan penurunan kes COVID-19 yang berterusan.

Maggipinto berkata Itali telah melaksanakan sekatan yang sangat ketat setelah teruk dilanda pandemik tersebut tahun lalu.

“Pada Mac 2020, keadaan di hospital Itali sangat sukar. Sekarang, saya boleh katakan, ia terkawal. Hospital kami kini telah meningkatkan kemampuan mereka untuk menghadapi pandemik dan menanganinya, ” katanya.

Beliau juga mengaitkan peningkatan itu dengan program vaksinasi negara yang telah dilancarkan sejak akhir tahun lalu.

Mengenai warga Itali yang tinggal di Malaysia, Maggipinto mengatakan mereka mempunyai komuniti yang stabil kira-kira 1,000 orang, dan kebanyakannya sudah lama tinggal dan bekerja di Malaysia.

Menurutnya, mereka dapat menghadapi situasi pandemik dan berasa selamat di negara ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here