PUTRAJAYA, 17 Mei — Kementerian Kesihatan (KKM) akan mencadangkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berskala penuh di Selangor sekiranya penularan di negeri itu gagal dikawal, kata Menterinya Datuk Seri Dr Adham Baba.

Beliau berkata KKM perlu mencadangkan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat di negeri itu jika penularan tidak mampu dikekang.

“Saya setuju kita perlu cadangkan kepada kerajaan supaya lebih ketat SOP dan juga PKP sekiranya melihatkan kepada ketidakupayaan mengekang, maka cadangan untuk kita melaksanakan PKP penuh adalah satu perkara yang boleh dipertimbangkan,” katanya.

Dr Adham berkata demikian pada sidang media bersama Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin mengenai perkembangan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan secara maya hari ini, ketika ditanya mengenai situasi di Selangor yang terus mencatatkan kes harian tinggi.

Selangor mencatatkan kes harian sebanyak 1,507 kes pada 15 Mei, 1,275 kes pada 16 Mei dan hari ini 1,650 kes.

Aktiviti ekonomi dibenarkan terus beroperasi semasa pelaksanaan PKP 3.0 di seluruh negara yang bermula 12 Mei sehingga 7 Jun.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here