KOTA BHARU, 17 Mei — Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) di negeri Kelantan akan ditambah sekiranya kes harian melonjak lebih 500 sehari.

Pengarah PKRC Kelantan Dr Mohd Azman Yacob berkata sekiranya jumlah bilangan pesakit COVID-19 kekal sekitar 300 hingga 400 sehari, 10 PKRC sedia ada buat masa ini adalah mencukupi memandangkan secara purata setiap hari seramai 100 hingga 150 pesakit yang tamat rawatan dibenarkan pulang.

“Namun, jika kes melonjak kepada 500 hingga 600 sehari atau lebih secara berterusan dalam tempoh seminggu kita akan buka PKRC lain. Malah sehingga kini peratusan PKRC yang sedia ada telah digunakan lebih 80 peratus,” katanya kepada pemberita ketika meninjau pembukaan PKRC Khas Gelanggang Seni, di sini, hari ini yang boleh memuatkan 126 pesakit bagi katil biasa dan 30 pesakit untuk katil klinikal. 

Beliau berkata pihaknya sentiasa melakukan perancangan dan perbincangan mengenai tempat-tempat baharu di negeri itu yang berpontensi untuk dijadikan PKRC.

“Kita sentiasa bersedia sekiranya keadaan memerlukan, kita akan ambil tindakan yang sesuai bagi menyediakan PKRC, dan setakat ini kita dalam peringkat perbincangan untuk menjadikan Padang Perdana sebagai PKRC seterusnya jika keadaan memerlukan,” katanya.

Ditanya mengenai PKRC Khas Gelanggang Seni, Dr Mohd Azman berkata 10 doktor akan ditempatkan di pusat berkenaan untuk memantau keadaan pesakit selain penolong pegawai perubatan dan petugas lain.

“Bagi 30 katil klinikal, kita akan menerima pesakit sama ada dari Hospital Tumpat atau Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), atau mereka yang dibawa dari rumah yang berada pada kategori tiga.

“Setakat ini 10 pesakit mula memasuki PKRC berkenaan bermula 1 tengah hari tadi bagi katil bertingkat, manakala enam pesakit untuk katil klinikal. Kebiasaannya apabila kita buka PKRC, ia akan penuh tidak sampai tempoh 24 jam,” katanya.

Sementara itu Dr Mohd Azman berkata sehingga kini 1,300 pesakit COVID-19 di Kelantan sedang menjalani Home Isolation Order (HIO).

“Kita dalam usaha untuk mengurangkan HIO, dan bagi pesakit-pesakit yang berumur kita tidak galakkan HIO, dan akan dibawa ke PKRC ini memandangkan mereka berkemungkinan berisiko untuk mendapat komplikasi awal,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here