GEORGE TOWN, 20 Mei — Parti Gerakan Pulau Pinang menggesa Ketua Menteri Chow Kon Yeow untuk membuat laporan polis terhadap individu yang kononnya menawarkan sumbangan dua juta dos vaksin COVID-19 Sinovac untuk Pulau Pinang.

Jurucakap Pemuda Parti Gerakan Pulau Pinang Mohd Aswaad Jaafar berkata ia perlu dilakukan segera jika Chow berpendapat bahawa beliau telah ditipu oleh individu bernama Yong Chee Kong yang kononnya adalah pengarah urusan sebuah syarikat bernama Xintai Development Enterprise Ltd berpangkalan di Hong Kong.

“Kami berpendapat beliau perlu membuat laporan polis untuk mempertahankan nama baik beliau sebagai Ketua Menteri,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis terhadap individu terbabit di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut di sini hari ini.

Katanya, laporan polis itu dibuat demi menjaga kepentingan dan kebajikan rakyat Pulau Pinang kerana sekurang-kurangnya dua kerajaan negeri cuba ditipu iaitu Sabah dan Pulau Pinang.

Dalam keadaan negara yang kini dilanda darurat kesihatan, beliau berkata situasi ini boleh menjejaskan keyakinan rakyat kepada kebolehpercayaan maklumat kerajaan mengenai vaksin serta memecahbelahkan perpaduan masyarakat.

Selain itu, Mohd Aswaad turut mempersoalkan jika pihak kerajaan negeri membuat siasatan awal mengenai latar belakang syarikat swasta dan individu tersebut sebelum mengutuskan surat kepada Kementerian Kesihatan (KKM).

“Salah laku ini melibatkan sumber kewangan melebihi RM100 juta dan siasatan mengenai wang sebegitu banyak adalah mustahak.

“Menurut Chow, tawaran itu dibuat oleh sebuah syarikat swasta tapi tidakkah beliau mengesyaki mengapa transaksi bayaran dibuat melalui akaun bank peribadi individu itu?” katanya.

Selasa lepas, Chow mendakwa Pulau Pinang pernah ditawarkan sumbangan dua juta dos vaksin oleh sebuah syarikat swasta tempatan pada Februari lepas namun kerajaan negeri tidak mendapat kebenaran daripada Kementerian Kesihatan (KKM).

Namun semalam, Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin menjelaskan bahawa tawaran sumbangan dua juta dos vaksin Sinovac oleh syarikat swasta untuk Pulau Pinang adalah tidak sahih, dan siasatan mendapati bahawa syarikat tersebut tidak wujud.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here