LABUAN, 26 Mei  — Labuan memberi kelonggaran bagi prosedur operasi standard (SOP) dalam Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dengan membenarkan dua individu dalam satu kenderaan berbanding seorang sebelum ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Alam Labuan Rithuan Ismail berkata keputusan yang berkuat kuasa hari ini mesti dengan syarat penumpang dan pemandu adalah dalam kalangan ahli keluarga rapat untuk membeli barangan keperluan, atau mendapat penjagaan kesihatan dan rawatan perubatan.

Selain itu, syarat dua individu dalam satu kenderaan juga melibatkan pemandu menghantar ahli keluarga dalam sektor perkhidmatan penting ke tempat kerja, katanya kepada pemberita selepas meninjau Sekatan Jalan Raya (SJR) di Jalan Tun Mustapha di sini hari ini.

Katanya penerima vaksin dalam kalangan ahli keluarga pada hari yang sama dibenarkan dalam satu kenderaan dengan menunjukkan maklumat berkaitan temui janji dalam aplikasi MySejahtera, laman web atau khidmat pesanan ringkas (SMS).

Labuan dikenakan PKPD bermula hari ini hingga 8 Jun susulan terdapat peningkatan ketara kes COVID-19 dengan 49 kes positif direkodkan hari ini.

Dalam pada itu, Ketua Polis Labuan Supt Ahmad Jawila berkata tahap pematuhan orang ramai terhadap SOP pada hari pertama pelaksanaan PKPD mencapai 95 peratus.

Katanya lebih 700 kenderaan yang diperiksa di SJR Jalan Tun Mustapha adalah petugas dalam sektor perkhidmatan penting dan penerima vaksin.

Menurutnya, pihaknya telah memeriksa hampir 800 kenderaan di SJR Jalan Patau-Patau, iaitu dua SJR di pulau bebas cukai itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here