KOTA BHARU, 31 Mei  — Beberapa wakil rakyat di negeri ini tampil dengan pelbagai inisiatif tersendiri untuk membantu penduduk di kawasan yang diwakili mereka untuk mendapatkan suntikan vaksin COVID-19.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demit Datuk Mumtaz Md Nawi berkata sukarelawan pusat khidmatnya ditugaskan untuk menelefon penduduk di kawasan tersebut untuk membantu proses pendaftaran sebagai penerima vaksin tersebut.

“Kita juga jalinkan kerjasama dengan semua penghulu mukim dan petugas Pusat Khidmat DUN Demit yang sudah terima vaksin. Apabila penduduk melihat ketua mereka sudah divaksin maka boleh jadi contoh kepada penduduk untuk melakukan perkara sama,” katanya kepada Bernama, hari ini.

Mumtaz yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Masyarakat negeri berkata langkah yang dilaksanakan itu bertepatan dengan titah Sultan Kelantan Sultan Muhammad V supaya semua wakil rakyat di Kelantan agar membantu rakyat mendapatkan suntikan vaksin COVID-19.

Dalam titah baginda semalam, Sultan Muhammad V turut melahirkan dukacita terhadap peratusan pendaftaran bagi suntikan vaksin melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan di negeri itu yang dilihat antara terendah di negara ini.

Sementara itu, ADUN Guchil Hilmi Abdullah berkata beliau mengambil inisiatif menyediakan pengangkutan buat penduduk di kawasan tersebut untuk memudahkan pergerakan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV)

“Penduduk termasuk warga emas yang tidak ada pengangkutan untuk menghadiri suntikan vaksin, pejabat DUN akan bawa mereka dengan van,” katanya bahawa Pusat Khidmat DUN Guchil juga akan membantu petugas kesihatan melaksanakan program vaksinasi di kawasan pedalaman seperti Kampung Mambong dan Kampung Bahagia, Kuala Krai.

“Kawasan ini agak jauh dan pergerakan perlu menggunakan bot. Pusat Khidmat DUN Guchil akan membawa petugas kesihatan untuk membolehkan penduduk di situ dapat disuntik vaksin pada 6 Jun ini,” katanya.

Bagi ADUN Galas Mohd Syahbuddin Hashim, pihaknya mengadakan perjumpaan dengan semua penghulu, imam mukim dan surau, penjaga kuil serta tokong untuk mengedarkan borang pendaftaran suntikan vaksin dengan kerjasama Pejabat Tanah Jajahan.

“Kita juga meminta Jabatan Penerangan Gua Musang untuk mengadakan kenderaan unit bergerak ke kampung-kampung bagi menyampaikan pengetahuan berhubung pendaftaran vaksin,” katanya.

Beliau berkata Pusat Khidmat DUN Galas juga menyediakan pengangkutan percuma kepada semua penduduk yang mempunyai masalah ke PPV.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kota Bharu Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata pihaknya mengambil langkah sewajarnya bagi membantu memudahkan rakyat yang telah berdaftar dan memperoleh tarikh untuk hadir mendapatkan suntikan vaksin, dengan menyediakan pengangkutan percuma. 

“Di samping itu sedikit sagu hati kewangan turut disumbangkan kepada mereka yang telah mengambil vaksin bagi membantu meringankan perbelanjaan mereka,” katanya yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here