KUALA LUMPUR, 31 Mei — Virus COVID-19 tidak tahu letih, oleh itu pasukan Polis Diraja Malaysia juga tidak boleh letih dalam membantu memerangi ‘musuh yang tidak nampak’ itu, dalam usaha memutuskan rantaian penularan wabak yang sehingga kini ‘membunuh’ lebih 2,000 orang di negara ini.

Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, biarpun telah lebih setahun ‘berjuang’ memerangi pandemik COVID-19 bersama petugas barisan hadapan lain, soal letih atau kecewa tidak timbul, dalam pasukan PDRM.

Sebaliknya pasukan itu akan terus tekun bersunguh-sunguh, kerana usaha yang dilakukan itu bukan hanya untuk kebaikan masyarakat tetapi juga untuk diri sendiri, keluarga dan sahabat handai anggota, serta pasukan polis.

“Kita tidak boleh letih sebab virus COVID-19 sendiri tidak tahu letih…selagi kita masih boleh berdiri, selagi kita masih boleh bergerak, kita akan teruskan usaha ini bersama-sama… kalau kita mengaku kita letih, penat dan sebagainya, bererti kita telah tewas dan kita tidak akan sesekali mengaku tewas.

“Justeru kita perlu bersama-sama untuk membantu sistem kesihatan, supaya jentera dan sistem kesihatan masih mampu beroperasi untuk beri perkhidmatan rawatan kepada orang ramai,” katanya pada sidang media khas berkenaan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 bermula esok hingga 14 Jun depan.

Pada masa sama, Acryl Sani menyeru orang ramai supaya terus patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, selain mengikuti apa sahaja nasihat yang diberikan oleh pakar perubatan berkenaan proses vaksin.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here