ALOR SETAR, 5 Jun  — Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menggagalkan cubaan menyeludup keluar daun ketum seberat 450 kilogram dari negeri ini ke Thailand melalui jalan laut di pesisir pantai Kuala Sanglang dekat sini, hari ini.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah Noor Azreyanti Ishak berkata berdasarkan maklumat risikan, pihaknya telah mengatur gerak meninjau kawasan berkenaan dan menemukan sebuah bot tanpa muatan di pesisir pantai itu pada jam 6.15 pagi.

“Pasukan operasi mengesyaki bot tersebut merupakan bot penyeludup dan pasukan kemudian membuat tinjauan sekitar kawasan bagi menjejaki suspek.

“Hasil tinjauan di kawasan pesisir pantai itu telah menemukan 45 bungkusan plastik berwarna hitam yang berada di kawasan berdekatan, mengandungi daun ketum yang dipercayai baharu dipetik,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut beliau daun ketum tersebut yang dianggarkan bernilai RM81,000 dipercayai diletakkan di situ sebelum diseludup keluar ke negara jiran.

Noor Azreyanti menjelaskan harga pasaran daun ketum di Thailand mencecah RM180 sekilogram berbanding RM40 sekilogram di pasaran tempatan dan keadaan itu telah mendorong penyeludup menggunakan pelbagai helah untuk menyeludupnya ke negara terbabit.

“Untuk rekod, ini merupakan rampasan daun ketum yang kelima bagi Zon Maritim Kuala Kedah pada tahun ini. Maritim Malaysia memandang serius aktiviti penyeludupan ini,” katanya yang memberitahu kes disiasat di bawah Seksyen 30(3), Akta Racun 1952.

Beliau berkata Maritim Malaysia mengalu-alukan sebarang aduan orang ramai mengenai aktiviti jenayah atau kecemasan di laut yang boleh disalurkan melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here