KUCHING, 5 Jun  — Meskipun dianggap kaedah lama namun pendekatan ‘Info on Wheel’ (IOW) yang digunakan Jabatan Penerangan di Serian untuk menyampaikan mesej bagi menggalakkan orang ramai menerima vaksin masih berkesan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Semuja John Ilus berkata kakitangan jabatan itu, yang menggunakan kenderaan untuk bergerak ke kawasan perumahan, kampung dan kawasan komersial sambil menyampaikan maklumat berkaitan COVID-19 serta kepentingan divaksin, telah mencapai objektifnya.

“Secara keseluruhannya dalam aspek penyampaian maklumat, kakitangan Jabatan Penerangan telah dapat melaksanakan tugas mereka menyebarkan maklumat ini dalam beberapa bahasa kepada sebanyak mungkin penduduk di daerah Serian,” katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata Pengarah Penerangan Negeri Sarawak Suwadi Guliling turut terlibat dalam memulakan kempen di sekitar bandar Serian baru-baru ini untuk mengedarkan risalah berhubung COVID-19 dan vaksinasi kepada penduduk di situ.

“Maklumat dan mesej tentang COVID dan vaksinasi juga turut dipaparkan di papan tanda dan papan iklan yang didirikan di lokasi strategik di mana kos untuk membuat serta mendirikannya ditanggung oleh pejabat saya (ADUN Bukit Semuja),” katanya.

Ahli Parlimen Batang Lupar Datuk Seri Rohani Abdul Karim pula berkata berdasarkan maklumat terkini yang diperolehnya di tiga kawasan DUN dalam kawasan Parlimen itu yang terdiri daripada Beting Maro, Sebuyau dan Lingga, kadar pendaftaran penduduk untuk menerima vaksin ialah 80 peratus.

Beliau berkata peratusan yang agak tinggi itu menunjukkan penduduk di kawasan Parlimennya, yang merupakan kawasan luar bandar, semakin menyedari kepentingan mendapatkan vaksin bagi mengekang penularan COVID-19.

“Usaha sedang dilakukan untuk meletakkan poster dan kain rentang promosi vaksinasi di kawasan awam, kampung dan rumah panjang selain mengedarkan risalah kepentingan vaksin bagi meningkatkan kesedaran rakyat di kawasan Batang Lupar,” katanya kepada Bernama.

Rohani juga berkata meskipun pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan di Sarawak ketika ini telah mengehadkan pergerakan beliau ke kawasan Parlimen Batang Lupar namun bantuan masih dapat disampaikan menerusi wakilnya kepada penduduk yang terkesan dengan perintah itu.

“Turut disampaikan ialah sumbangan kepada petugas barisan hadapan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here