ALOR SETAR, 10 Jun — Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah telah membantu menguruskan pengebumian 46 jenazah pesakit COVID-19 di negeri itu setakat semalam.

Pengarah APM Kedah Awang Askandar Ampuan Yaacub berkata setakat ini, penugasan APM bagi tujuan itu masih terkawal dan pihaknya terus komited untuk melaksanakan tanggungjawab yang telah diamanahkan.

“APM Kedah telah terlibat secara langsung dengan tugasan ini bermula pada 23 Mei lepas bersama dengan agensi lain seperti Kementerian Kesihatan, polis, pejabat agama di daerah dan waris jenazah itu sendiri.

“Jumlah kumulatif pengebumian yang telah diuruskan oleh APM Kedah setakat 9 Jun 2021 ialah 46 jenazah merangkumi tujuh daerah iaitu Kota Setar (28), Kuala Muda (1), Kubang Pasu (5), Pendang (4), Yan (4), Baling (2) dan Padang Terap (2),” menurutnya dalam kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) di sini hari ini.

Beliau berkata untuk tugasan itu, APM di setiap daerah menubuhkan satu hingga dua pasukan yang terdiri daripada enam petugas bagi satu pasukan yang diselia oleh seorang pegawai.

Kenyataan itu turut memaklumkan bahawa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof mengadakan sidang video bersama APM Kedah hari ini bagi berkongsi tugasan agensi tersebut ketika pandemik COVID-19 termasuk berkaitan pengebumian jenazah pesakit COVID-19.

Dalam sidang video itu, Mohd Redzuan berharap semua pegawai dan petugas APM terus komited, bersemangat dan sentiasa berwaspada walaupun terpaksa bertugas dalam keadaan yang amat berbahaya serta berisiko kepada diri mereka.

“Beliau turut memberi nasihat kepada seluruh masyarakat agar lebih peka dengan keadaan sekeliling dan mematuhi segala prosedur operasi standard yang telah ditetapkan bagi mengelakkan diri daripada jangkitan virus ini,” menurut kenyataan itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here