KUALA LUMPUR, 14 Jun — Citi Malaysia akan terus menawarkan pelanggan yang terkesan akibat pandemik COVID-19 pilihan pembayaran balik yang sesuai dengan keperluan mereka.

Ia sejajar dengan Bantuan Pembayaran Bersasar (TRA) yang diumumkan baru-baru ini oleh Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM) yang menawarkan moratorium kepada peminjam bagi tempoh tiga bulan atau pengurangan 50 peratus dalam pembayaran ansuran bulanan untuk enam bulan.

Dalam satu kenyataan hari ini, bank itu berkata pelanggan individu yang kehilangan pekerjaan, peminjam daripada golongan B40 yang mendaftar untuk Bantuan Sara Hidup (BSH) dan Bantuan Prihatin Rakyat (BPR), perusahaan mikro dengan kemudahan pinjaman tidak lebih daripada RM150,000 dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang tidak disenaraikan dalam sektor dibenarkan beroperasi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) boleh memilih kemudahan TRA.

Bank itu berkata pelanggan daripada golongan M40 dan T20 yang masih bekerja tetapi pendapatan mereka terjejas juga akan ditawarkan pilihan bantuan pembayaran balik tersebut.

Selain itu, Citi Malaysia berkata ia juga akan terus menawarkan pakej bantuan kewangan sedia ada kepada semua pelanggan lain termasuk penjadualan dan penstrukturan semula pinjaman berdasarkan kes demi kes.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Usman Ahmed berkata Citi Malaysia berhubung secara aktif dengan pelanggan yang tidak dapat memenuhi kewajipan kewangan mereka untuk menilai keperluan mereka dalam jangka pendek bagi menyokong mereka dalam membina masa depan kewangan yang mampan untuk tempoh jangka masa panjang.

“Tumpuan akan diberikan untuk memastikan bahawa bantuan yang paling sesuai diberikan kepada pelanggan yang sangat memerlukannya ketika ini.

“Di Citi Malaysia, kami komited untuk memberikan penyelesaian kewangan paling sesuai untuk setiap pelanggan dan kami telah melakukan ini secara konsisten untuk membantu pelanggan pada waktu pandemik ketika ini,” katanya.

Sektor kewangan telah menunjukkan fleksibiliti untuk memastikan bahawa bantuan tersebut sepadan dengan persekitaran ekonomi dan situasi pandemik, katanya.

Pelanggan digalakkan untuk menggunakan saluran perbankan digital Citi Malaysia termasuk Citibank Online di www.citibank.com.my dan aplikasi mudah alih Citi Malaysia, manakala perkhidmatan CitiPhone tersedia dan beroperasi seperti biasa.

Pelanggan Citi Priority, Citigold dan PKS yang layak pula boleh menghubungi pengurus hubungan mereka untuk membuat janji temu yang diperlukan melalui panggilan audio, video atau persidangan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here