KUALA LUMPUR, 15 Jun — Dua perkampungan di Sarawak dan beberapa lokaliti di Sabah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai Khamis ini hingga 30 Jun, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata di Sarawak, kawasan dikenakan PKPD ialah Kampung Goebilt dan Kampung Muara Tebas di Kuching, yang masing-masing merekodkan 24 dan 22 kes positif COVID-19 hasil saringan yang dijalankan. 

“Pelaksanaan PKPD ini adalah untuk menyekat pergerakan dan penularan jangkitan COVID-19 dari kawasan berisiko keluar dari lokaliti tersebut,” menurutnya dalam kenyataan hari ini. 

Di Sabah pula, lapan lokaliti dikenakan PKPD iaitu Kampung Rancangan dan Kampung Kijang Merotai di Kalabakan, Kampung Tanjung Batu Tengah dan Taman Semarak Megah di Tawau, Kampung Rampayan dan Kampung Kionsom Kecil di Kota Kinabalu, Kampung Taun Gusi Peninting di Kota Belud dan PPR Taman Ehsan di Kudat. 

Katanya PKPD di Kampung Rancangan dilaksanakan selepas mencatatkan 11 kes positif manakala Kampung Kijang Merotai merekodkan lapan kes positif. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here