KUALA LUMPUR, 17 Jun — Tempoh masa nyata yang tepat dan boleh diukur berserta elemen fleksibiliti yang terkandung dalam Strategi Pelan Pemulihan Negara merangkumi empat fasa akan membolehkan perniagaan dan ekonomi Malaysia kembali pulih, demikian menurut pakar pengurusan krisis di sini.

Penganalisis komunikasi dan pengurusan krisis Peter Nicol berkata maklum balas terhadap pelan yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin itu adalah ia merupakan perancangan yang jelas serta mudah difahami, menggunakan protokol pengurusan krisis yang perakui.

Dalam fasa ketiga antara antara bulan September dan Oktober, kebanyakan aktiviti pembuatan/perkilangan dibenarkan sementara pada fasa keempat pula akan menyaksikan pembukaan semua sektor ekonomi.

 “Ia adalah pelan hala tuju yang wajar dan boleh diterima untuk memacu pemulihan Malaysia,” katanya ketika menjawab pertanyaan hos Jessy Chahal dalam program “Midday Update” terbitan Bernama TV  mengenai kritikan terhadap pelan berkenaan yang antaranya dikatakan sebagai kekurangan strategi.

Sebaliknya, Nicol berkata pelan itu mengandungi strategi yang boleh diukur seperti tempoh masa bermula daripada sekatan pergerakan pada masa ini, kadar jangkitan atau penularan, kapasiti kesihatan awam dan vaksinasi yang telah lengkap sehinggalah kepada mengembalikan kehidupan seperti biasa menjelang akhir tahun.

“Semua ini amat jelas untuk dilihat dan diterima oleh orang ramai. Kami sentiasa percaya pelan terbaik dan paling berkesan adalah pelan yang paling mudah (dan) kami merasakan ini (pelan) akan berfungsi kerana ia ringkas – mengandungi tanda aras yang mudah dan dapat diukur, ” jelasnya.

Di bawah fasa kedua, Muhyiddin berkata aktiviti yang akan dibenarkan termasuk pembuatan seperti pengeluaran simen untuk memastikan kesinambungan pembinaan dan perdagangan runcit yang dibenarkan merangkumi penjualan barangan elektronik dan komputer bagi menyokong mereka yang bekerja dari rumah.

Nicol juga berkata kerajaan seharusnya dipuji kerana menghasilkan rancangan pemulihan dengan mengambil kira bahawa Malaysia berserta negara-negara lain di seluruh dunia sedang menangani krisis yang tidak diketahui dan kesan teruk dialami disebabkan oleh pandemik COVID-19.

Paling jelas ialah mengenai fleksibiliti apabila Muhyiddin menekankan  di bawah fasa keempat, rakyat Malaysia dapat kembali kepada keadaan biasa bergantung kepada kadar jangkitan yang rendah, sistem kesihatan awam berada pada tahap yang selamat dan imuniti berkelompk telah dicapai pada akhir tahun.

Sementara itu, pengasas Pusat Pengurusan Krisis Nordin Abdullah yang juga tetamu program ini berkata salah satu perkara penting yang diinginkan syarikat adalah kemampuan untuk mengetahui bila mereka akan dapat kembali bekerja, maksudnya dari segi perancangan korporat dan juga perancangan rantaian bekalan.

Seperti pelan-pelan sebelum ini, beliau berkata rancangan pemulihan ini mempunyai beberapa bahagian, justeru, sangat penting bagi semua pihak yang berkepentingan termasuk syarikat untuk bersatu, bekerja sebagai satu pasukan untuk memastikan kejayaannya.

Ditanya mengenai kritikan yang menyatakan pelan ini terlalu panjang dan tempoh enam bulan agak lama untuk meningkatkan ekonomi dengan membuka kembali semua segmen perniagaan, beliau sebaliknya berkata jangka waktu itu sebenarnya adalah sangat singkat.

“Pemulihan enam bulan itu adalah jangka waktu yang sangat hebat memandangkan kita berhadapan dengan dua tahun krisis ekonomi yang memberi kesan langsung kepada semua syarikat dan sektor,” katanya.

Namun demikian, beliau menambah :”Walaupun kerajaan telah menyusunkan rancangan jangka pendek untuk negara tetapi yang pasti, perlu juga ada pelan ekonomi jangka panjang lebih-lebih lagi apabila ada peluang untuk bergerak melangkaui perancangan krisis.

“Apabila tiba waktunya, syarikat perlu melihat kepada peluang sebenar kerana ekonomi global telah berubah dalam tempoh dua tahun ini, kita harus melihat pada pelaburan bernilai lebih tinggi, yang memberikan pekerjaan bernilai lebih tinggi,” kata Nordin.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here