JELI, 19 Jun — Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) mempertimbangkan untuk memberikan vaksin berdos tunggal COVID-19 jenis CanSino kepada banduan, individu dalam tahanan imigresen serta pesakit terlantar, selain penduduk kawasan pedalaman dan Orang Asli.

Pengarahnya Datuk Dr Zaini Hussin berkata ini kerana ia dilihat dapat memudahkan urusan pihak berkuasa memandangkan vaksin CanSino hanya memerlukan satu dos suntikan sahaja.

“Kerajaan negeri merancang untuk suntikan CanSino diberikan kepada penduduk di kawasan pedalaman serta Orang Asli.

“Selain itu, kita (JKNK) tengok pada banduan di negeri ini dan juga individu di depoh tahanan sebab kita hendak hantar mereka balik (ke negara asal),” katanya kepada pemberita selepas meninjau Program Outreach Vaksinasi di Pejabat Ahli Parlimen Jeli, di sini hari ini.

Pada 17 Jun lepas, Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin dilaporkan berkata kerajaan akan membekalkan vaksin CanSino kepada Kelantan pada Julai ini dan suntikan vaksin berkenaan akan diutamakan kepada penduduk di kawasan pedalaman termasuk Orang Asli.

Sementara itu, mengulas perkembangan jumlah pemvaksinan COVID-19 di seluruh Kelantan, beliau berkata seramai 149,000 individu sudah menerima suntikan dos pertama, manakala 42,000 telah melengkapkan dos kedua, setakat semalam.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here