PUTRAJAYA, 24 Jun  — Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menyediakan kotak serahan (Drop Box) di pejabat cawangan, pejabat satelit, Pusat Khidmat Hasil dan pejabat daerah berhampiran di Sabah dan Sarawak bagi memudahkan pemohon rayuan Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) di dua negeri itu mengemukakan borang.

Menerusi satu kenyataan hari ini, LHDN berkata kemudahan kotak serahan tersebut disediakan hingga tarikh akhir permohonan rayuan BPR iaitu pada 30 Jun ini.

“Pemohon hanya perlu meletakkan borang rayuan BPR yang lengkap berserta dokumen sokongan berkaitan ke dalam kotak serahan mengikut waktu operasi pejabat LHDN terbabit.

“Pemohon perlu memasukkan borang dan dokumen sokongan ke dalam sampul atau dikepil dengan kemas sebelum meletakkannya ke dalam kotak serahan agar tidak bercampur dengan borang pemohon lain,” menurut kenyataan itu.

LHDN berkata kemudahan tersebut disediakan selepas mengambil kira kesukaran pemohon rayuan BPR di Sabah dan Sarawak berbuat demikian secara dalam talian, selain membantu mereka mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pencegahan penularan COVID-19 yang ditetapkan kerajaan.

Maklumat lanjut mengenai permohonan rayuan BPR boleh didapati dengan melayari portal BPR di https://bpr.hasil.gov.my.

Sebarang pertanyaan atau maklum balas pula boleh dimajukan kepada LHDN melalui Hasil Care Line di talian 03-8911 1000 atau 603-8911 1100 (luar negara), HASiL Live Chat dan borang maklum balas di portal rasmi LHDN di pautan pantas https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/MaklumBalas/ms-my/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here