KUALA KANGSAR, 25 Jun — Masyarakat Orang Asli di Perak akan diberi suntikan vaksin berdos tunggal jenis CanSino yang dijangka diterima pada Julai ini, kata Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali.

Beliau berkata selain Orang Asli, Orang Kurang Upaya (OKU) dan mereka yang menghidap penyakit kritikal juga akan disuntik dengan vaksin CanSino.

“Vaksin CanSino juga diperlukan di kawasan pedalaman di sini kerana kesukaran perhubungan menyebabkan suntikan satu dos dijalankan kepada golongan berkenaan,” katanya pada sidang media selepas melawat pusat pemberian vaksin (PPV) Awam di Hospital Kuala Kangsar di sini hari ini.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dilaporkan berkata dua jenis vaksin COVID-19 iaitu CanSino dan Johnson & Johnson yang hanya memerlukan satu suntikan dos, diberi kelulusan pendaftaran bersyarat untuk kegunaan kecemasan.

Sementara itu Dr Noor Azmi berkata kerajaan juga sedang meningkatkan pemberian vaksinasi di kawasan berisiko tinggi seperti di Selangor dan sekitar Lembah Kelang.

“Kawasan itu kini memasuki fasa ketiga vaksinasi dalam usaha kerajaan melandaikan kes COVID-19 dan suntikan vaksin diberikan kepada semua peringkat umur daripada 18 tahun ke atas,” katanya.

Mengenai PPV di Hospital Kuala Kangsar di sini Dr Noor Azmi berkata ia dikhususkan kepada mereka yang mempunyai masalah seperti jantung dan penyakit berisiko tinggi lain yang memerlukan pemerhatian dan kelulusan pakar perubatan sebelum diberikan suntikan vaksin. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here