KUALA LUMPUR, 29 Jun — Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) yang bernilai RM150 bilion dilihat memberi kelebihan kepada banyak pihak terutamanya kumpulan berpendapatan M40.

Antara manfaat dalam pakej rangsangan ekonomi terkini kerajaan itu adalah lanjutan kemudahan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan moratorium pinjaman, yang begitu bermakna bagi mereka yang mempunyai komitmen bulanan lebih tinggi.

Dekan Fakulti Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Universiti Utara Malaysia, Prof Dr Russayani Ismail berkata walaupun langkah itu akan memberikan impak kepada simpanan ahli KWSP dalam jangka panjang, pada masa ini, mata pencarian rakyat merupakan aspek yang paling utama.

“i-Citra dan moratorium pinjaman automatik pastinya merupakan bantuan yang besar terutamanya untuk kumpulan berpendapatan M40 yang pada kebiasaannya dipinggirkan daripada menerima bantuan, tidak seperti kumpulan B40.

“Memandangkan moratorium ini bukan lagi moratorium bersasar dan sesiapa sahaja boleh membuat permohonan, moratorium enam bulan akan menjadi begitu penting, terutamanya bagi usahawan mikro dan kecil yang mempunyai lebih banyak komitmen kewangan,” katanya kepada Bernama. 

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata pengumuman Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam, jelas menunjukkan bahawa kerajaan bersedia untuk berusaha sedaya upaya dari segi menyediakan bantuan kewangan kepada seluruh rakyat Malaysia.

“Semua agensi berkaitan kerajaan telah dilibatkan untuk menyediakan bantuan, jadi, persoalannya kini adalah secepat mana untuk negara akan beralih ke fasa seterusnya susulan Pelan Pemulihan Negara.

“Ia sangat kritikal kerana bakal menentukan trajektori pembukaan semula ekonomi,” katanya.

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, Bank Pembangunan Malaysia Bhd yakin langkah-langkah yang diperkenalkan di bawah PEMULIH boleh dilaksanakan segera untuk memberikan kelegaan kepada ekonomi.

“Pembukaan semula sektor ekonomi bukan keperluan utama dengan lebih segera — disokong rancangan kerajaan untuk meningkatkan peruntukan belanjawan bagi pembelian vaksin berserta lebih banyak pusat vaksinasi dan pelbagai mod program inokulasi — akan mempercepatkan lagi aktiviti ekonomi domestik,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri mengumumkan, di bawah kemudahan i-Citra KWSP, 12.6 juta ahli KWSP boleh membuat pengeluaran sehingga RM5,000 dengan kadar bayaran tetap RM1,000 sebulan untuk tempoh lima bulan, tertakluk kepada jumlah simpanan mereka.

KWSP berkata ahli boleh mula memohon kemudahan itu di portal dalam talian i-Citra di icitra.kwsp.gov.my mulai 15 Julai 2021, dengan pembayaran pertama dijangka dikreditkan dalam akaun ahli pada Ogos 2021.

Sementara itu, individu dan usahawan mikro boleh memohon moratorium pinjaman selama enam bulan bermula 7 Julai 2021.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here