ROMPIN, 29 Jun — Sebuah resort popular di Pulau Tioman di sini, Salang Pusaka Resort ‘bertukar wajah’ menjadi pusat pemberian vaksin (PPV) COVID-19 kepada lebih 90 penduduk Kampung Salang yang layak menerima suntikan itu.

Pengarah resort Abdul Khalid Mohamad berkata beliau didatangi pegawai Lembaga Pembangunan Tioman (TDA) sekitar tiga minggu lepas, bagi memohon kebenaran untuk menggunakan resort yang diusahakannya sejak 1991 sebagai PPV. 

“Mereka beritahu tempat saya sesuai kerana terletak tidak jauh dari jeti, di tengah-tengah kampung dan mempunyai dewan seminar serta laman yang agak besar sekali gus memudahkan orang ramai berkumpul dengan pematuhan penjarakan fizikal. 

“Sudah tentu saya tidak berfikir dua kali untuk memberikan kebenaran. Ini perkara yang baik selain kami sendiri sudah lama tidak menerima tetamu sejak Oktober tahun lepas,” katanya semasa ditemui di resort itu baru-baru ini.

Selain itu, Abdul Khalid juga membenarkan kakitangan kerajaan yang menguruskan PPV itu menggunakan beberapa bilik di resortnya untuk berehat atau solat, kerana mahu mereka selesa dalam menjalankan tugasan.

Baginya, ia adalah sumbangan kecil daripadanya kepada usaha kerajaan menangani pandemik COVID-19, selain memikirkan bahawa kesemua 180 penduduk di kampung itu mempunyai pertalian keluarga dengan dirinya. 

Penyelaras vaksin Pulau Tioman Dr Ahmad Hafiz Mohamad berkata seramai 20 petugas kesihatan ‘berkampung’ di resort itu selama hampir enam jam mulai 8.30 pagi bermula semalam, bagi memberi suntikan vaksin jenis Sinovac kepada penduduk di situ. 

“Selain di PPV, kita juga akan berjalan kaki ke dua buah rumah kerana penerima vaksin tidak boleh ke PPV ekoran masalah kesihatan termasuk seorang yang difahamkan sudah terlantar sejak beberapa tahun lepas,” katanya. 

Pembukaan PPV itu memberi kelegaan kepada suri rumah, Zalina Mohd Abidin, 55, yang perlu menggunakan kerusi roda selepas kedua-dua kakinya dipotong sehingga paras lutut dan paha, akibat komplikasi kencing manis pada 2018. 

Zalina berkata dirinya runsing jika janji temu vaksin menerusi MySejahtera ditetapkan di klinik kesihatan terdekat, iaitu di Kampung Tekek yang hanya boleh diakses menggunakan bot selama 20 minit atau jika tidak, perlu ke Rompin dengan menaiki feri selama hampir dua jam. 

“Kalau boleh saya tidak mahu menyusahkan orang lain dengan keadaan saya. Bila dengar orang bercakap akan ada misi (jururawat) ke mari untuk suntik vaksin, saya segera meminta suami untuk mengesahkan berita itu dan jika ya, daftarkan terus nama kerana tidak mahu terlepas peluang,” katanya. 

Pengusaha kedai makan, Arman Ariffin, 49, berkata kehadiran tiga buah bot membawa petugas kesihatan dan vaksin ‘mengubat kerinduan’ terhadap deruan enjin bot yang sudah lama tidak didengari selepas aktiviti pelancongan di pulau itu terjejas akibat COVID-19. 

Beliau yang bermastautin di Pulau Tioman selepas bertemu jodoh di situ sejak 29 tahun lepas, berharap keadaan segera pulih supaya Kampung Salang yang terkenal dengan keindahan pantai dan hidupan laut kepada peminat aktiviti selam skuba kembali menerima pelancong. 

“Dahulu, hujung minggu adalah masa yang sibuk kepada kami…meriah dengan pelancong dari dalam dan luar. Tapi sekarang sudah berbulan-bulan kami terpaksa berehat dan hanya bergantung kepada wang simpanan serta bantuan untuk meneruskan hidup,” katanya. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here