KUANTAN, 4 Julai  — Hampir 1,000 penduduk dalam Panching Timur, Felda Bukit Sagu dan persimpangan Gambang Interchange di sini menikmati jaringan komunikasi lebih baik apabila tiga infrastruktur telekomunikasi oleh Celcom dan Digi mula beroperasi Jun lepas. 

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menerusi kenyataan di sini hari ini memaklumkan antara yang menerima manfaatnya ialah penduduk Felda Panching  Timur, Felda Bukit Sagu 1, 2 dan 3, Taman Rakyat Gambang, Masjid Gambang, kawasan perindustrian Gambang serta kawasan berhampiran. 

Pembinaan infrastrukur komunikasi itu merupakan lanjutan kepada pertemuan antara Ahli Parlimen Paya Besar Mohd Shahar Abdullah yang juga Timbalan Menteri Kewangan dan MCMC serta pemain industri April lepas. 

“Beberapa inisiatif lain juga dirancang dalam Parlimen Paya Besar di bawah pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) seperti pembinaan 19 menara baru yang akan bermula Ogos ini dengan jangkaan siap secara berperingkat antara Mac dan Jun 2022.

“Selain itu, kerja naik taraf perkhidmatan rangkaian 3G kepada 4G juga telah dirancang dilaksanakan melibatkan 65 stesen pemancar di seluruh kawasan Parlimen berkenaan bagi tempoh masa yang sama,” menurut kenyataan itu. 

MCMC juga memaklumkan 4,545 premis di Parlimen itu akan terlibat dalam kerja naik taraf teknologi lama kepada rangkaian gentian optik yang membolehkan capaian jalur lebar tetap dengan kelajuan Gigabit disediakan.

Menurutnya kerja naik taraf itu telah dimulakan sejak suku pertama tahun ini dan dijangka siap secara berperingkat menjelang suku kedua tahun 2022, bergantung kepada ketersediaan infrastruktur sedia ada. 

MCMC optimis pembinaan infrastruktur telekomunikasi dan pelaksanaan inisiatif di bawah JENDELA itu dapat melonjakkan taraf kehidupan penduduk setempat selain melancarkan aktiviti seharian mereka. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here