KUALA LUMPUR, 4 Julai — Terma yang lebih baik dalam Program Subsidi Upah atau PSU 4.0 akan menyelamatkan lebih banyak pekerjaan termasuk pekerjaan dalam kumpulan M40 serta perniagaan di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH).

Program ini akan dapat mengurangkan beban perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam bidang seperti overhed operasi apabila tiada urus niaga perniagaan atau rendah semasa pandemik COVID-19, kata Amy Seok, Ketua Pegawai Eksekutif Money Compass Media (M) Sdn Bhd hari ini.

“Melepaskan tenaga kerja akan menjadi tindakan terakhir yang akan dilakukan oleh perniagaan jika diberi pilihan,” katanya kepada Bernama mengulas mengenai pakej PEMULIH bernilai RM150 bilion yang diumumkan kerajaan minggu lepas.

Bagaimanapun, beliau menggesa kepada komunikasi yang cekap dan konsisten antara komuniti, perniagaan dan kerajaan dalam menghadapi kemerosotan perniagaan pada masa ini akibat pandemik COVID-19.

Mereka perlu berganding bahu untuk menghasilkan penyelesaian yang kreatif dan inovatif serta menetapkan hala tuju yang lebih baik ke arah pemulihan ekonomi, suatu tanggungjawab yang tidak seharusnya hanya diserahkan kepada kementerian atau kerajaan, katanya.

Bagi moratorium, Seok berkata semua bank dan institusi kewangan di Malaysia perlu membuktikan tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka untuk mengecualikan faedah enam bulan dan bukan hanya faedah terkumpul.

Jika faedah dikenakan selama enam bulan, itu bermakna semua perniagaan PKS beroperasi tetapi pada hakikatnya, banyak syarikat termasuk syarikat pembuatan dan runcit terjejas teruk dan telah menghentikan operasi.

Ia akan menjadi amat sukar untuk mereka membayar faedah apabila mereka tidak beroperasi dan itu sebabnya mereka tidak perlu dikenakan faedah terkumpul dan faedah itu perlu dikecualikan.

Beliau berkata adalah adil jika bank mengenakan faedah untuk pinjaman ke atas syarikat yang masih beroperasi dan mencatatkan prestasi dengan baik seperti pengeluar sarung tangan.

Dalam tempoh sukar seperti ini, katanya bank dan institusi kewangan perlu mempunyai empati terhadap PKS kerana kedua-dua pihak adalah rakan dan rakan kongsi dalam mengembangkan ekonomi.

Oleh itu, CSR oleh bank dan institusi kewangan adalah wajar semasa pandemik ini.

Kerajaan mungkin boleh menjadikan moratorium dengan semua pengecualian ini sebagai arahan dasar dan menunjukkan empatinya terhadap PKS.

Mengulas mengenai lanjutan PSU 4.0 untuk semua sektor dan pekerja dengan gaji lebih daripada RM4,000, katanya ia merupakan keputusan yang bijak berikutan ini secara tidak langsung akan mengekalkan pekerjaan M40.

Seok memuji apa yang pastinya merupakan versi PSU 4.0 yang lebih baik, menyatakan langkah tersebut akan membantu sehingga 500 pekerja untuk setiap majikan, pada kadar RM600 untuk setiap pekerja selama empat bulan.

“PSU adalah antara program yang paling praktikal untuk menyelamatkan pekerjaan dan perniagaan,” katanya.

Ini menunjukkan kerajaan mendengar suara rakyat dan industri berikutan ia menangani kebimbangan dan cabaran utama di lapangan termasuk untuk industri kecil dan sederhana dalam menyelesaikan impak pandemik COVID-19.

Antara fokus PEMULIH seperti yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada minggu lepas termasuklah, menyokong perniagaan dengan mengurangkan kos tanggungan majikan, menyokong usaha digitalisasi, memberikan kemudahan bantuan kewangan dan insentif cukai, menyediakan kemudahan pembiayaan dan meneruskan insentif pekerjaan yang akan memberi manfaat kepada PKS.

“Di bawah pakej rangsangan baharu ini, kerajaan akan menyediakan bantuan tambahan di bawah program Geran Khas Prihatin (GKP) 4.0 dan ini sudah tentu akan membantu mengurangkan kos yang ditanggung oleh majikan PKS,” kata Seok.

Mengenai inisiatif pendigitalan di bawah PEMULIH, beliau berkata, langkah itu tentunya boleh dicapai menerusi Program Pemerkasaan Pendigitalan Usahawan Kecil (PUPUK) yang baharu diperkenalkan, dengan kerajaan memperuntukkan RM200 juta untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dan RM100 juta untuk PKS.

Berikutan satu daripada peruntukan dalam bidang ini akan melibatkan inisiatif Shop Malaysia Online dan GoeCommerce Onboarding, beliau berkata, pastinya, langkah berkenaan akan membantu ramai usahawan terutamanya daripada sektor ekonomi gig dan tidak rasmi.

Bagaimanapun, untuk membantu menyokong usahawan tempatan, Seok menyarankan agar inisiatif ini dihadkan kepada penawaran produk Malaysia dan e-pasaran Malaysia.

Menurutnya, pakej PEMULIH juga perlu dipuji susulan usahanya yang inklusif.

Ini berikutan, bagi membantu Orang Kurang Upaya (OKU) yang tidak bekerja, kerajaan akan memberikan mereka RM500 sebulan selama tiga bulan yang dianggarkan memanfaatkan lebih 2,000 individu, manakala RM20 juta diperuntukkan untuk membantu OKU dan golongan gelandangan untuk memulakan perniagaan mereka sendiri, merangkumi keperluan modal dan bantuan perniagaan.

Selain itu, Seok berkata pelaksanaan penangguhan bayaran ansuran cukai pendapatan syarikat, tentunya akan meringankan aliran tunai bagi kebanyakan PKS.

Menurut Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SME Corporation Malaysia), 73 peratus daripada perniagaan akan mengalami kerugian.

Sehubungan itu, beliau berkata, adalah tidak munasabah untuk perniagaan ini membayar ansuran cukai pendapatan lebih awal daripada potensi keuntungan mereka.

“Inilah sebabnya penangguhan ansuran cukai syarikat ini amat membantu PKS untuk terus bertahan dalam tempoh mencabar ini,” katanya.

Seok turut meminta perniagaan untuk memanfaatkan sepenuhnya faedah lain di bawah PEMULIH seperti pengecualian levi Perbadanan Sumber Manusia Bhd selama dua bulan kepada majikan yang boleh beroperasi semasa Kawalan Pergerakan, lanjutan diskaun pembayaran bil elektrik sebanyak 10 peratus kepada mereka yang beroperasi dalam sektor ekonomi terjejas dan peruntukan RM2 bilion oleh Bank Negara Malaysia untuk membantu PKS dan usahawan mikro.

“Perdana Menteri berkata prospek pertumbuhan PKS dijangka pulih secara berperingkat pada 2021, seiring dengan ramalan pertumbuhan ekonomi keseluruhan dan pertumbuhan ini akan disokong oleh pelaksanaan pakej rangsangan ekonomi seperti PEMULIH.

“Ini sesuatu yang akan memberi harapan kepada PKS di Malaysia dan motivasi untuk kekal berusaha di sebalik cabaran yang dihadapi, terutamanya ketika Fasa Pertama Kawalan Pergerakan dalam Pelan Pemulihan Negara pada masa ini,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here