KANGAR, 8 Julai  — Kerajaan Perlis membelanjakan sebanyak RM5.24 juta menerusi Program Agihan Makanan Asas (PAMA) bagi membantu 344,451 rakyatnya yang terkesan akibat pandemik COVID-19 sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama 18 Mac tahun lepas.

Setiausaha  Kerajaan Negeri Perlis Azman Mohd Yusof berkata PAMA mula diperkenalkan oleh kerajaan negeri sebelum penularan pandemik COVID-19 lagi iaitu selepas Belanjawan Negeri Perlis 2020 pada Disember 2019.

“Program ini menyediakan bekalan makanan asas sebanyak RM500 setiap bulan dan mereka yang terdesak boleh mengambil bekalan makan di 15 pusat agihan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

 Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana Alam negeri berkata apabila negara dilanda pandemik COVID-19, kerajaan  negeri menerusi PAMA telah membelanjakan sejumlah RM3.3 juta bagi mengagihkan bantuan makanan asas dua minggu sekali kepada mereka yang terkesan dengan PKP 1.0.

“Seramai 35,000 orang menerima bantuan bakul makanan yang berupa makanan asas seperti beras, minyak, telur, kopi, gula, biskut, sardin dan lain-lain yang bersesuaian bagi membantu meringankan beban keluarga yang kehilangan pekerjaan atau kekurangan pendapatan semasa PKP,” katanya.

Beliau berkata apabila penularan COVID-19 agak terkawal selepas PKP 1.0, PAMA masih diteruskan dengan peruntukan bagi pusat agihan dinaikkan daripada RM500 kepada RM1,500 sebulan sebagai bantuan  kepada mereka yang masih terkesan.

 “Pada 1 Jun lepas, negara sekali lagi dikenakan PKP 3.0, dan kerajaan negeri membelanjakan sejumlah RM1.5 juta untuk meneruskan PAMA yang diselaraskan oleh 15 Pusat Khidmat  Dewan Udangan Negeri (DUN),” katanya.

 Azman berkata walaupun Perlis beralih kepada Fasa Kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula 5 Julai, kerajaan negeri masih meneruskan bantuan kepada  golongan B40 dengan menyediakan sejumlah 7,500 bakul makanan bernilai RM50 setiap satu melibatkan peruntukan berjumlah RM375,000.

Beliau berkata bantuan kali ini hanya diberikan kepada yang memerlukan sahaja memandangkan beberapa sektor ekonomi telah dibenarkan beroperasi semula.

Azman berkata selain meneruskan PAMA, kerajaan negeri akan mencari inisiatif baharu sebagai tambahan bagi membantu rakyat yang  terkesan akibat pandemik ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here