PUTRAJAYA, 8 Julai — Pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang memasuki bulan ke-10 telah mempamerkan hasil memberangsangkan dengan kesemua sasaran suku tahun yang ditetapkan telah berjaya dicapai, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah.

Saifuddin, yang mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu JENDELA untuk laporan suku tahun JENDELA Fasa Satu bagi tempoh  April hingga Jun 2021 dan diberikan taklimat berkaitan pencapaian terkini pelaksanaan pelan itu hari ini, berkata  laporan penuh suku tahun JENDELA sedang dimuktamadkan dan akan diumumkan esok.

“Saya berpuas hati dengan kemajuan pelaksanaan JENDELA yang dipantau rapi oleh Jawatankuasa Pelaksanaan JENDELA dianggotai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan pihak industri yang bermesyuarat setiap dua minggu.

“Berdasarkan perkembangan ini, JENDELA dijangka mampu memberi tahap pengalaman perkhidmatan jalur lebar lebih berkualiti di seluruh negara sekali gus memberi manfaat berimpak tinggi kepada kehidupan harian rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Saifuddin berkata JENDELA membawa aspirasi peningkatan liputan dan pengukuhan infrastruktur kesalinghubungan internet negara yang mampan dan inklusif. 

Beliau berkata MCMC dan penyedia perkhidmatan juga telah membentangkan pencapaian terkini usaha-usaha untuk memastikan premis-premis mendapat akses gentian optik, pembinaan tapak baharu, menaik taraf stesen pemancar sedia ada dan penamatan rangkaian 3G menjelang akhir Disember 2021.

“Turut diketengahkan ialah pewujudan peta JENDELA, yang merupakan salah satu sasaran untuk fasa satu. Peta berkenaan merupakan pusat sehenti untuk rakyat dengan menyediakan pelbagai kemudahan seperti untuk menyemak liputan rangkaian di kawasan mereka, menghantar maklum balas dan permohonan perkhidmatan baharu daripada penyedia perkhidmatan masing-masing. 

“Semua maklum balas yang dihantar melalui peta ini akan disalurkan kepada penyedia perkhidmatan untuk membolehkan mereka merancang perkhidmatan serta kesalinghubungan yang lebih baik kepada rakyat pada masa hadapan,” katanya.

Saifuddin berkata laporan itu turut mengandungi maklumat berkaitan kos untuk menjalankan perniagaan di negeri-negeri bagi pembinaan menara dan struktur bumbung, laporan berkenaan aduan rangkaian dan usaha yang diambil oleh MCMC dan pihak penyedia perkhidmatan dalam menyelesaikan segera aduan berkaitan kesalinghubungan.

Beliau berkata keputusan kerajaan mewartakan telekomunikasi sebagai utiliti awam baru-baru ini akan memastikan akses perkhidmatan komunikasi bukan sahaja dapat disediakan secara menyeluruh dan berkualiti tinggi tetapi juga cepat dan pada kos yang berpatutan kepada penduduk. 

Saifuddin dalam pada itu menyeru negeri-negeri memberi keutamaan dalam melicinkan pelaksanaan projek-projek kesalinghubungan itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here