SEPANG, 8 Julai — Lebih 9,000 penduduk terutama dari daerah Sepang telah menerima dos pertama vaksin COVID-19 di pusat pemberian vaksin (PPV) Mega Movenpick KLIA yang mula beroperasi Isnin lepas (5 Julai).

Pengurus PPV berkenaan, Dr Noraziah Abdul Karim berkata hanya 2,000 dos diberikan pada dua hari pertama operasi dan jumlah itu ditingkatkan kepada 5,000 dos bermula semalam.

Menurutnya, PPV mega itu mengalami kesesakan semalam akibat terdapat penerima vaksin yang hadir pada bukan waktu janji temu yang ditetapkan, menyebabkan barisan bagi giliran menunggu menjadi panjang.

“Syukur, keadaan dapat dikawal dan kami mengingatkan agar penerima vaksin mengikut waktu janji temu,” katanya kepada Bernama selepas menerima kunjungan Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Ahmad Amzad Hashim yang meninjau proses vaksinasi di PPV itu.

PPV mega itu merupakan kolaborasi antara Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta pihak swasta iaitu MB Perkasa Sdn Bhd dan Golden Horses Health Sanctuary Chinese Medical Centre yang beroperasi setiap hari dari 8 pagi hingga 9 malam.

Vaksin jenis Sinovac diberikan di PPV berkenaan dan dibekalkan terus oleh pihak Pharmaniaga Bhd selaku syarikat farmaseutikal tempatan yang mengendalikan rantaian proses pembekalan vaksin Sinovac yang dibeli secara pukal.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here