KUALA LUMPUR, 12 Julai  — Beberapa negara di Asia Pasifik, termasuk Malaysia, dijangka terjejas dari segi pertumbuhan ekonomi pada suku ketiga pada tahun ini berikutan peningkatan semula jangkitan COVID-19 di rantau ini, menurut Moody’s Analytics.

Firma penyelidikan itu menjangka Indonesia akan terjejas teruk, membawa kepada risiko unjuran pertumbuhan Moody’s Analytics disemak semula sebanyak 4.5 peratus untuk negara itu bagi 2021.

“Apa yang berlaku di Indonesia ialah permintaan domestik merangkumi bahagian ekonomi yang besar secara relatif berbanding negara lain di Asia Tenggara, justeru, eksport tidak banyak membantu dalam mengimbangi penurunan di peringkat domestik pada tahap agregat. 

“Vietnam dan Malaysia akan turut terjejas,” katanya dalam analisis bertajuk “Macro Roundup: COVID-19 Is Bruising Asia’s Recovery” yang diterbitkan hari ini.

Walaupun menyatakan 2021 ternyata lebih baik daripada 2020, Moody’s Analytics berkata minggu lepas membuktikan kebanyakan negara-negara di Asia Pasifik, pengurusan dan langkah-langkah membendung COVID-19 merupakan cabaran yang berterusan berikutan varian Delta telah melanda rantau ini.

Misalnya, katanya, Indonesia mengumumkan sekatan pergerakan negaranya yang pertama berikutan kes melonjak pada minggu lepas dengan purata harian selama tujuh hari berada di bawah 30,000, manakala Jepun mengisytiharkan darurat yang akan berterusan hingga Olimpik Tokyo, dijadualkan bermula pada 23 Julai.

“Ini akan menjejaskan industri perhotelan yang telah terjejas, yang berharap kepada peningkatan daripada sukan Olimpik,” katanya.

Firma penyelidikan itu berkata sekatan pergerakan di Sydney, Australia, telah dilanjutkan berikutan varian Delta telah menyebabkan jumlah kes melebihi paras selesa, manakala kes COVID-19 di Vietnam kini pada tahap teruk.

“Sekatan pergerakan di Ho Chi Minh City bermula minggu ini, manakala gelombang keempat telah melanda Korea Selatan,” katanya.

Moody’s Analytics berkata penyatuan tema negara-negara ini yang bergelut dengan peningkatan semula kes COVID-19 dan penjarakan sosial yang diperbaharui adalah jadual vaksinasi di peringkat domestik yang perlahan.

“Kesemua negara ini adalah jauh daripada daya tahan kelompok, menjadikan mereka terdedah kepada sekatan pergerakan yang berterusan memberi tekanan kepada permintaan domestik dan pemulihan yang lebih luas, situasi yang dijangka berterusan hingga separuh kedua 2021,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here