KUANTAN, 12 Julai  — Menjadi sukarelawan di pusat pemberian vaksin (PPV) diumpamakan sebagai serampang dua mata kepada gadis istimewa, Siti Nurhikmah Razlan kerana selain meningkatkan keyakinan berdepan individu tidak dikenali, tugasan tersebut turut memberi kepuasan diri kepadanya yang gemar melakukan kerja kebajikan.

Siti Nurhikmah, 23, yang merupakan orang kurang upaya (OKU) penglihatan pada mata kiri sejak lahir, berkata hasrat mahu berbakti dalam situasi pandemik COVID-19 menyebabkan beliau sentiasa mengintai peluang di mana-mana PPV, sebelum dimaklumkan bahawa PPV Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini memerlukan sukarelawan. 

Anak sulung daripada dua beradik yang mesra disapa Ikma juga bersyukur kerana ayahnya, Razlan Ramli, 46, dan ibunya Diana Hussin, 44, membenarkan beliau menggunakan kereta untuk ke PPV yang terletak kira-kira 20 kilometer dari rumah mereka di Balok Perdana sebagai tanda sokongan. 

“Sejak kecil, ayah sering mengingatkan saya untuk tidak berasa rendah diri dengan kekurangan, malah beliau sering membawa saya ke program kebajikan atau kemasyarakatan berkaitan kerjanya sebagai anggota tentera laut yang mungkin sebagai latihan untuk saya lebih yakin dengan diri sendiri. 

“Minat kepada kerja sukarelawan juga mungkin timbul kerana terlalu kerap mengikut ayah sehingga membuatkan saya terfikir bahawa kekurangan ini bukan halangan untuk berbakti,” katanya kepada Bernama semasa ditemui pada hari pertama beliau bertugas di PPV Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah hari ini. 

Siti Nurhikmah, yang merupakan penuntut Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sistem Pejabat, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam, Selangor, berkata terdapat segelintir masyarakat suka merenung ke arah matanya, menyebabkan beliau cuba memujuk diri dengan beranggapan individu tersebut sekadar ingin tahu apa yang berlaku kepada pancainderanya itu.

Bercerita lanjut mengenai tugas sebagai sukarelawan, Siti Nurhikmah berkata beliau akan bertugas sehingga September ini sebelum menjalani latihan industri bagi melengkapkan syarat pengajiannya dan antara peranannya di PPV adalah menguruskan pendaftaran penerima vaksin, selain menunjuk arah.

Bertemu dengan pelbagai lapisan masyarakat di PPV, menurut Siti Nurhikmah ia adalah peluang kepadanya membaiki kemahiran komunikasi yang merupakan satu daripada keperluan utama apabila beliau memasuki dunia pekerjaan kelak.

“Sekarang saya tidak perlu mengikuti kuliah secara dalam talian kerana sudah hampir penghujung semester, sebaliknya hanya perlu menyiapkan tugasan diberikan pensyarah yang mana saya lakukan pada sebelah malam memandangkan masa waktu siang dihabiskan di PPV,” katanya. 

Siti Nurhikmah juga berharap lebih ramai anak muda akan mendaftar sebagai sukarelawan sebagai tanda turut serta dalam peperangan melawan pandemik COVID-19 yang kini mengancam dunia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here