KUALA LUMPUR, 12 Julai  — Shopee Malaysia menawarkan manfaat bernilai sehingga RM3,000 daripada program ‘Go-eCommerce Onboarding’ kepada 60,000 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Shopee menjelaskan bagi penjual sedia ada yang telah berdaftar sebelum 1 Julai 2021, mereka akan nikmati baucar pulangan tunai Syiling Shopee bernilai RM2,500 untuk kedai selain rebat yuran perkhidmatan bernilai sehingga RM500.

Bagi penjual baharu yang berdaftar sebagai penjual mulai 1 Julai 2021, mereka akan menerima tawaran baucar pulangan tunai Syiling Shopee bernilai RM1,500 untuk kedai serta rebat yuran perkhidmatan bernilai sehingga RM1,500, jelasnya.

Shopee menambah inisiatif di bawah Belanjawan 2021 itu bertujuan mendorong penggunaan e-dagang sebagai saluran perniagaan dalam kalangan PMKS tempatan dan warganegara Malaysia yang ingin menceburi bidang keusahawanan.

Shopee juga membiayai inisiatif ini secara Ringgit-ke-Ringgit, dengan kerjasama Kementerian Kewangan serta Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), menurutnya.

Manfaat ini akan menggalakkan rakyat Malaysia membeli daripada penjual baharu seterusnya memacu jualan mereka terutama di peringkat awal berada di Shopee.

Bagi penjual sedia ada pula, difahamkan ramai yang mempunyai perniagaan runcit luar talian yang terjejas berikutan pandemik.

“Manfaat daripada program ini akan membantu mengurangkan kesan daripada pandemik dan mengekalkan aliran tunai mereka melalui jualan menerusi e-dagang,” jelas Shopee.

‘Go-eCommerce Onboarding’ layak disertai oleh penjual Shopee berdaftar yang merupakan warganegara Malaysia atau tergolong dalam kategori PMKS seperti yang ditentukan Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia.

Bagi PMKS, lebih daripada 50 peratus saham syarikat mesti dimiliki warganegara Malaysia atau entiti tempatan, serta jualan bulanan kedai tidak boleh melebihi RM4 juta, jelas Shopee.

Platform e-dagang itu menjelaskan, program tersebut merupakan sebahagian inisiatif e-dagang di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang dikenali sebagai Kempen E-dagang Perusahaan Mikro dan PKS tahun lepas sebelum dijenamakan semula kepada ‘Go-eCommerce Onboarding’.

Shopee menggalakkan penjual yang memenuhi kriteria kempen ini memohon dengan segera, memandangkan bilangan penyertaan adalah terhad.

Setelah permohonan dihantar, ia akan disemak dan penjual tersebut akan dimaklumkan jika layak untuk menyertai kempen ini, tambahnya.

“Penjual berminat yang memenuhi kriteria boleh mula memohon mulai sekarang sehingga 30 Nov, 2021 menerusi shopee.com.my/goecommerce. Penyertaan adalah percuma,” menurutnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here