KUALA LUMPUR, 14 Julai — Kerajaan mungkin perlu mengenakan cukai untung luar biasa ke atas syarikat yang mencatatkan keuntungan luar biasa semasa tempoh pandemik COVID-19, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata dengan adanya cukai itu, kerajaan boleh menambah sumber kewangannya sekali gus dapat membantu rakyat yang terjejas dan kian terhimpit susulan COVID-19.

“Cukai untung luar biasa ini bukanlah satu benda yang luar biasa…ini mungkin membantu kerajaan kerana di waktu darurat ini dan di waktu COVID ini, kita perlu belanja banyak kerana kita tolong orang yang miskin, kena bagi tambahan pendapatan, orang tak ada makan, kita kena bagi makan.

“Jadi, semua ini perlu dilakukan dan memerlukan kewangan tetapi kalau kita ikut cukai secara biasa, aktiviti (ekonomi) kurang dan kerajaan juga akan dapat cukai yang kurang,” katanya ketika menjadi ahli panel bagi forum Reset Malaysia: Mampukah Ekonomi Malaysia Diselamatkan? yang disiarkan menerusi Facebook Reset Malaysia, pada Rabu.

Dr Mahathir berkata kerajaan juga disaran menumpukan sepenuhnya usaha memerangi COVID-19 dan menyusun semula agihan peruntukan mengikut keutamaan, daripada perkara tidak penting kepada yang lebih penting.

Ketika ditanya sama ada kerajaan perlu memperkenalkan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) bagi menambah hasil negara, bekas perdana menteri itu berkata langkah memperkenalkan cukai baharu dalam situasi sekarang tidak akan mengurangkan masalah yang dihadapi kerajaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here