KUALA LUMPUR, 19 Julai  — Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengingatkan orang ramai supaya tidak melakukan aktiviti ziarah dan merentas negeri sempena sambutan Aidiladha esok.

Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata berikutan itu PDRM akan meningkatkan pemeriksaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP), dengan pasukan pemantau pematuhan yang digerakkan di seluruh negara memberi fokus kepada kawasan-kawasan perumahan dan lokasi tumpuan awam. 

Beliau berkata PDRM komited dalam mengambil tindakan tegas bagi memastikan segala SOP dipatuhi dan mana-mana pihak yang dikesan sengaja melanggar SOP akan diambil tindakan tanpa kompromi.

“Peringatan juga diberikan agar masyarakat tidak menjalankan aktiviti ziarah dan kunjung-mengunjung atau merentas negeri serta daerah sepanjang musim perayaan. 

“Sebarang pelanggaran SOP berhubung perkara ini akan diambil tindakan berdasarkan kepada peruntukan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Acryl Sani berkata PDRM menasihatkan masyarakat agar sentiasa mematuhi SOP sektor sosial sambutan Hari Raya Aidiladha yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here