BAGAN SERAI, 19 Julai — Sebanyak tiga tan durian habis dijual dalam tempoh sejam setiap hari di Jalan Pesiaran Raja Syed Thauphy 4 di sini selepas video jualan buah itu viral baru-baru ini.

Seorang penjual durian, Mohd Shukri Omcek, 27 berkata beliau tidak menyangka video jualan durian dengan harga RM1.99 sekilogram yang dimuat naik olehnya di media sosial baru-baru ini telah menyebabkan pelanggan menyerbu tempat jualannya.

Katanya beliau mengambil inisiatif menjual dengan harga itu selepas terbaca rungutan orang ramai di ruangan komen portal dalam talian yang mengatakan harga durian mahal, dan hanya golongan kayangan sahaja yang mampu membelinya.

“Ramai yang merungut durian dijual dengan harga mahal di pasaran sehingga golongan B40 tidak mampu membeli raja buah untuk dinikmati oleh keluarga mereka. 

“Atas sebab itu, saya bersama seorang rakan mencari pekebun-pekebun durian di sekitar kawasan Bukit Gantang dan Trong yang menawarkan harga jualan secara borong dengan rendah supaya dapat dujual kepada orang ramai dengan harga yang rendah,” katanya ketika ditemui di gerai berkenaan hari ini.

Mohd Shukri berkata beliau telah menjual buah durian dengan harga itu sejak seminggu lepas dan sambutan orang ramai amat mengalakkan, dengan kebanyakkan pelanggan datang lebih awal ke tapak jualan, sebelum lorinya tiba.

Sementara itu seorang pelanggan Zainudin Hamid, 48, berkata beliau mendapat tahu durian dijual dengan harga murah setelah menonton video yang tular di media sosial dan harga yang ditawarkan sangat rendah, berbaloi, sekali gus memberi peluang kepada yang berpendapatan rendah untuk menikmatinya. 

Menurutnya semasa pandemik COVID-19, ramai yang terjejas pendapatan dan tentunya tidak mampu untuk membeli durian sekiranya dijual dengan harga yang mahal.

“Sikap penjual durian yang menawarkan harga jualan durian murah seperti ini perlu dipuji kerana memberi peluang kepada orang ramai untuk merasai kenikmatan buah durian ini,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here