KUALA LUMPUR, 21 Julai — Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) menyasar untuk membantu 600 syarikat Malaysia dan menjana penjualan eksport di peringkat global bernilai RM60 juta menerusi program ‘Electronic Business Linkages’ (eBizLink).

Dalam kenyataan pada Rabu, MATRADE menjelaskan lebih 40 Kempen Global ePerniagaan akan dianjurkan di bawah program eBizLink selama setahun, dengan projek pertama telah dilancarkan secara serentak di Kuala Lumpur dan Beijing, China pada 17 Jun, 2021.

Kempen ini bertujuan memperkukuh daya saing dan memacu pertumbuhan eksport Malaysia, jelasnya.

Menurut badan itu, penjualan awal merekodkan 15.18 juta yuan (RM9.87 juta) dalam projek pertama, dengan produk utama termasuk durian beku, aiskrim durian, durian kering, sarang burung, mi segera, buah goreng beku, jem, rempah, pes, madu dan sos.

Sebanyak 45 pertemuan maya telah diaturkan antara syarikat Malaysia dan pembeli dari China dalam projek pertama itu, menurutnya.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Sharimahton Mat Saleh berkata pihaknya yakin program eBizLink akan terus memberi manfaat kepada perniagaan Malaysia.

“Perniagaan Malaysia akan dapat meneroka pasaran global menerusi langkah memanfaatkan e-dagang dan pelbagai saluran pemasaran hibrid yang berkesan untuk mengharungi cabaran dan ketidaktentuan berpanjangan ekoran pandemik COVID-19,” katanya.

eBizLink merupakan inisiatif di bawah Pogram Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) untuk menyediakan penyelesaian mampan dan berkesan dari segi kos kepada perusahaan kecil dan sederhana serta syarikat peringkat pertengahan supaya mereka dapat memanfaatkan peluang perniagaan baharu dalam pasaran global.

Ia dirangka oleh MATRADE untuk memudahkan perniagaan Malaysia mencapai pelanggan berpotensi melangkaui sempadan menerusi platform dalam talian dan luar talian.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here