KUALA LUMPUR, 6 April — Majlis Pelancongan Malaysia (MTC) akan menganjurkan ‘Malaysia Tourism Friendly Golf Challenge’ Sabtu ini, antara inisiatif untuk meningkatkan sektor pelancongan negara yang terkesan dengan pandemik COVID-19.

Presidennya Uzaidi Udanis berkata program itu akan diadakan di Kota Seri Emas Golf & Country Club Nilai, Negeri Sembilan melibatkan 40 peserta dan akan dianjurkan secara berkala sepanjang tahun ini bagi memastikan kelangsungan sektor pelancongan tempatan.

Uzaidi berkata program berbentuk pelancongan sukan itu mampu membantu pemain industri seperti ejen pelancongan, hotel dan restoran dalam merangsang ekonomi mereka dan negara.

“Sukan golf merupakan antara aset penting pertumbuhan sektor pelancongan kerana pelancongan golf berupaya membantu perusahaan tempatan secara menyeluruh. MTC telah mendapat kebenaran daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk menjalankan program dengan syarat 10 flights atau 40 peserta sahaja.

“Apabila kejohanan golf dilakukan di salah satu tempat menarik di Malaysia, kewujudan homestay, kedai runcit, kedai souvenir, restoran secara tidak langsung membantu perniagaan tempatan di kawasan tersebut,” katanya dalam sidang media di Pejabat Tourism Malaysia di sini hari ini.

Program itu dijalankan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh MKN bagi memastikan tiada kontak rapat antara peserta ketika kejohanan golf berlangsung dan penyertaan peserta dari negeri berbeza diberikan surat rentas negeri.

Uzaidi juga berkata Malaysia mempunyai padang golf bertaraf antarabangsa dan program itu mampu mempromosikan pelancongan golf untuk menarik pelancong luar negara dan pelabur asing.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here