LABUAN, 24 Julai — Kesukaran hidup seorang nelayan yang terpaksa meminjam bot hampir setiap hari sejak setahun lalu untuk mendapatkan hasil laut bagi menyara hidup sekeluarga, akhirnya terbela hari ini.

Keluhan Mohd Salihan Awang Damit @Kurus, 37, didengari dan mendapat perhatian Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Labuan apabila beliau menerima sebuah bot baharu bernilai RM9,250 pada majlis penyerahan bot di sini, hari ini.

Mohd Salihan yang berasal dari Kampung Bebuloh Laut merupakan penerima bantuan kewangan bulanan sebanyak RM400 dari MAIWP dan mempunyai tanggungan seorang isteri serta enam orang anak.

Sebelum ini, Salihan memiliki sebuah bot, namun bot berkenaan telah rosak dipukul ribut yang tidak dapat dibaiki dan beliau terpaksa meminjam perahu dari abangnya untuk kembali turun ke laut mencari rezeki.

Pengurus MAIWP Labuan Md Fadzli Md Saad dalam kenyataan hari ini berkata Mohd Salihan menghadapi kesukaran untuk ke laut sejak Julai tahun lepas.

“Tahun lepas, MAIWP Labuan telah menyumbang dua bot kepada nelayan tempatan. Mohd Salihan adalah penerima pertama bantuan ini (bot) pada tahun ini,” katanya menambah bantuan dihulurkan bagi membolehkan individu yang terlibat berdikari mencari rezeki bagi mempertingkatkan taraf ekonomi keluarga.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here