KUALA LUMPUR, 24 Julai — Polis Diraja Malaysia (PDRM) menasihatkan penerima vaksin COVID-19 supaya tampil membuat laporan di balai polis berhampiran sekiranya mereka mengesyaki menerima suntikan vaksin kosong agar siasatan lanjut dapat dijalankan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hassan dalam kenyataan hari ini berkata pihaknya akan membuka kertas inkuiri untuk menyiasat laporan polis yang dibuat penerima vaksin terbabit.

“Ekoran kenyataan media yang dikeluarkan semalam, PDRM masih menerima banyak pertanyaan dan aduan berkenaan perasaan gelisah oleh penerima-penerima vaksin COVID-19.

“Bagi penerima vaksin yang gelisah dan berasa diperdayakan, mereka boleh membuat ujian ‘COVID Neutralizing Antibody Test’ di makmal perubatan yang berlesen iaitu 30 hari selepas menerima suntikan dos kedua untuk mengesahkan keberadaan antibodi dalam badan,” katanya.

Abd Jalil turut menasihatkan orang ramai supaya membuat aduan sekiranya berlaku kejadian penawaran palsu atau penipuan penjualan vaksin di pasaran dan secara dalam talian serta sebarang usaha penjualan yang bukan mengikut Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

“Hingga kini PDRM belum mengesan mana-mana sindiket atau individu yang disyaki cuba menjual atau memasarkan vaksin kepada orang ramai secara rahsia atau sebaliknya,” katanya.

Semalam, Abd Jalil dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya menerima 13 laporan polis berkaitan isu suntikan picagari kosong oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM) di beberapa pusat pemberian vaksin di seluruh negara.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here