PUTRAJAYA, 28 Julai — Dapatan awal mengenai insiden pintu sebuah tren transit aliran ringan (LRT) laluan Kelana Jaya terbuka pada 26 Julai lepas berpunca daripada satu “Door Close Confirmation Unit”  (DCCU) yang gagal berfungsi secara normal, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong hari ini. 

Bagaimanapun, beliau berkata adalah terlalu awal untuk menentukan punca sebenar kegagalan DCCU itu kerana siasatan mungkin membawa kepada kesimpulan lain berkaitan penyenggaraan atau pematuhan kepada prosedur operasi standard operasi kereta api apabila menyelesaikan isu teknikal. 

Wee dalam satu kenyataan hari ini berkata Kementerian Pengangkutan memandang serius insiden sebuah pintu yang tidak disengajakan terbuka pada tren Tr44 LRT Kelana Jaya semasa sedang transit kira-kira 3 petang Isnin dari Stesen LRT Ara Damansara ke arah Stesen Lembah Subang dengan tujuh penumpang di dalamnya. 

Tiada kecederaan dilaporkan semasa insiden itu.

Wee berkata Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) telah mengambil tindakan segera dengan mengarahkan Rapid Rail sebagai pengendali tren untuk melaksanakan siasatan terperinci dalam insiden itu dan menghantar laporan penyenggaraan tren 44 sebelum insiden itu berlaku kepada APAD, katanya. 

APAD telah mengarahkan Rapid Rail untuk menghantar laporan awal insiden dalam tempoh tujuh hari atau sebelum 2 Ogos dan satu laporan siasatan penuh dengan dokumen sokongan dalam tempoh 21 hari atau menjelang 16 Ogos, katanya. 

APAD juga akan membuka kertas siasatan ke atas insiden itu di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715), katanya.

Insiden yang berlaku ini amat dikesali dan kementerian serta APAD tidak akan mentoleransi dengan mana-mana unsur kecuaian,” kata Wee sambi menambah mana-mana individu yang gagal mematuhi keperluan keselamatan boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Wee berkata Rapid Rail juga telah diarahkan untuk mengambil langkah jangka pendek dan panjang bagi memastikan insiden seumpama itu tidak berulang lagi dalam operasi tren Rapid Rail, katanya.

Tindakan lanjut ke atas pengendali berlesen kepada perkhidmatan rel itu akan ditentukan berdasarkan penelitian laporan lengkap berkaitan insiden itu, katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here