KUALA LUMPUR, 28 Julai — Seramai 24 warga Indonesia termasuk seorang wanita, masing-masing didenda RM2,000 atau penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret Selayang hari ini kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dalam membanteras penularan COVID-19 dengan berkumpul beramai-ramai sempena sambutan Aidiladha.

Majistret Nur Hafizah Rajuni menjatuhkan hukuman itu selepas mereka mengaku bersalah.

Empat lagi lelaki warga Indonesia bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sama dan mahkamah menetapkan 7 Okt untuk sebutan semula kes mereka.

Kesemua tertuduh berusia lingkungan 22 dan 47 tahun itu didakwa bersama-sama melanggar arahan Ketua Pengarah Kesihatan bagi mencegah dan mengawal apa-apa penyakit dengan berkumpul tanpa kebenaran pihak berkuasa yang merupakan kesalahan di bawah Peraturan 10(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021, yang berkuat kuasa mulai 5 Julai 2021.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah kedai di Taman Selayang Utama, Batu Caves pada 10 pagi 20 Julai lepas mengikut Peraturan 17(1) peraturan sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara enam bulan atau denda RM50,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Ketika rayuan, kesemua tertuduh memohon hukuman denda ringan namun Timbalan Pendakwa Raya Khairunnisak Hassni meminta hukuman setimpal mengambil kira keadaan rumah kedai yang padat semasa mereka berkumpul.

Mengikut fakta kes, sepasukan anggota polis menerima maklumat terdapat kenduri sempena Aidiladha dan pemeriksaan di tempat kejadian mendapati lebih 20 orang berkumpul di ruang tamu serta sedang makan beramai-ramai dengan tidak mengamalkan penjarakan sosial.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here