ALOR SETAR, 2 Ogos — Kedah akan memperbesar dan menambah baik fasiliti vaksinasinya, susulan kejayaan mendapatkan lebih banyak bekalan vaksin daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) untuk negeri itu.

Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor berkata Kedah memperoleh 226,000 dos seminggu berbanding 80,000 dos seminggu sebelum ini, justeru kerajaan negeri melalui Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) perlu mempercepatkan proses vaksinasi di negeri itu.

“Kita akan buka Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Mega di SP Sport Center (di Sungai Petani) yang berkapasiti 5,000 suntikan sehari dengan kerjasama ProtectHealth Corporation Sdn Bhd, mula beroperasi pada 6 Ogos ini dan kerjasama ini menjadikan PPV Mega ini sebagai PPV Integrasi terbesar di Kedah,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

CITF negeri juga akan menaik taraf PPV Awam di Dewan Kenangan di Sungai Petani sebagai PPV Mega Integrasi bermula 11 Ogos ini.

Katanya, cadangan pembukaan PPV Integrasi di lokasi bersesuaian bagi meningkatkan jumlah suntikan juga akan diteliti, di samping menaik taraf PPV awam kepada PPV Integrasi supaya suntikan vaksin dapat ditingkatkan ke peringkat maksimum.

Muhammad Sanusi berkata inisiatif itu akan melibatkan petugas kesihatan dan bukan kesihatan pihak kerajaan, sukarelawan dan pihak swasta.

Selain PPV awam di klinik dan pusat kesihatan kerajaan, PPV Integrasi, pusat kesihatan dan hospital swasta, Kedah juga telah membuka Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) di Kulim Hi-Tech Park (KHTP) dan Sungai Petani.

Kapasiti PIKAS di KHTP adalah sebanyak 3,000 suntikan sehari, manakala PIKAS Sungai Petani dengan kapasiti 5,000 suntikan sehari.

“PIKAS berikutnya yang menanti kelulusan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI)  dan MOSTI adalah di Jitra untuk menampung vaksinasi pekerja industri di Alor Setar dan Kubang Pasu.

“PPV Integrasi Langkawi juga sedang beroperasi di tahap maksimum pada waktu ini selain vaksinasi secara ‘outreach’ di Bukit Malut dan Pulau Tuba,” katanya.

Selain itu, program vaksinasi secara outreach iaitu PPV bergerak untuk komuniti luar bandar juga sudah dilaksanakan dan dengan semua persiapan itu pihaknya yakin 80 peratus penduduk Kedah akan menerima dos lengkap vaksin menjelang akhir Oktober atau awal November ini. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here