ISKANDAR PUTERI, 8 Ogos — Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin berharap UMNO dapat menunggu keabsahan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dibuktikan pada sidang Parlimen September ini. 

Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan itu berkata ini kerana beliau mahu meneruskan tugasnya bagi memastikan sasaran negara ke arah mewujudkan imuniti kelompok dapat dicapai. 

Mengakui masih Ahli UMNO dan setia dengan parti, Khairy berkata apa yang penting baginya ketika ini ialah menjalankan tugas yang diamanahkan untuk meningkatkan kadar vaksinasi dalam negara. 

“Biar saya buat kerja saya, vaksinasi ini soal nyawa rakyat Malaysia, selagi tidak ada undian, biarlah saya buat kerja. Bagi pihak UMNO, saya Menteri UMNO, nanti selepas kita dah selesai undi, boleh kita buat keputusan apa tindakan seterusnya,” katanya kepada pemberita hari ini ketika melawat Iskandar Malaysia Studios yang dicadangkan menjadi tapak pusat pemberian vaksin baharu di Johor. 

Ini merupakan kali pertama beliau bersuara selepas Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dalam sidang media pada 3 Ogos lepas, memaklumkan penarikan sokongan Ahli Parlimen parti itu terhadap kerajaan.

“Saya masih lagi dalam kerajaan sebab saya ada masalah kepercayaan terhadap Presiden UMNO,” katanya sambil menambah isu tersebut timbul selepas Ahmad Zahid menghantar surat kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mendakwa semua Ahli Parlimen UMNO menyokong Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

Khairy berkata terdapat juga isu rakaman perbualan antara Ahli Parlimen Bagan Datoh itu dengan Anwar, yang pada mulanya dinafikan oleh Ahmad Zahid. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here