ALOR SETAR, 8 Ogos  — Seramai 750 petugas di kemudahan kesihatan awam atau swasta di Kedah disahkan positif COVID-19 sejak tahun 2020 hingga 31 Julai lepas.

Pengarah Kesihatan Negeri Dr Othman Warijo berkata 85 kes berlaku pada tahun lepas dengan kadar insiden 0.36 peratus daripada keseluruhan petugas kesihatan di Kedah manakala bagi tahun ini sehingga 31 Julai lepas, sejumlah 665 kes dengan kadar insiden 2.83 peratus direkodkan. 

Beliau berkata kes jangkitan melibatkan pelbagai kategori petugas termasuk jururawat, pegawai dan pakar perubatan, pegawai pergigian, penolong pegawai perubatan, profesional kesihatan bersekutu, pembantu penjagaan kesihatan, pentadbiran serta perkhidmatan sokongan.

“Peningkatan kadar ini adalah selari dengan peningkatan kes yang disahkan COVID-19 di negeri ini,” menurutnya dalam kenyataan malam ini.

Dr Othman memberi jaminan perkhidmatan kesihatan di Kedah tidak terjejas walaupun berlaku jangkitan COVID-19 dalam kalangan petugas kesihatan dan meminta orang ramai agar terus mematuhi prosedur operasi standard serta mengamalkan norma baharu bagi memutuskan rantaian wabak itu. 

Beliau juga berkata analisis lanjut data pada tahun ini menunjukkan petugas kesihatan yang disahkan positif COVID-19 membabitkan semua peringkat umur iaitu 20 hingga 60 tahun dengan 69 peratus daripadanya adalah wanita. 

“Analisis selanjutnya menunjukkan 99.7 peratus daripada kes sepanjang 2021 adalah bergejala ringan atau tanpa gejala dan tiada kematian berkaitan COVID-19 dalam kalangan petugas kesihatan dilaporkan sehingga 31 Julai 2021,” katanya. 

Dr Othman berkata rekod jabatan juga menunjukkan 59 peratus daripada kes mendapat jangkitan di luar tempat kerja namun jangkitan di tempat kerja masih berlaku dan ia memerlukan penambahbaikan segera.  

“Bagi menangani isu ini, semua petugas kesihatan di sektor awam dan swasta serta para sukarelawan sering dinasihatkan, diberi latihan dan dipantau supaya mematuhi langkah-langkah pencegahan dan kawalan infeksi di tempat kerja,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here