KUALA LUMPUR, 10 Ogos  — Sebanyak 19,606 kes atau 98.1 peratus daripada 19,991 kes baharu COVID-19 yang dilaporkan hari ini, adalah daripada kategori satu iaitu tidak bergejala dan kategori dua iaitu bergejala ringan.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataannya hari ini berkata, sebanyak 385 kes atau 1.9 peratus daripada jumlah keseluruhan kes harian baharu COVID-19 itu berada dalam kategori tiga, empat dan lima.

Beliau berkata secara keseluruhan, hanya 4,632 kes (23.2 peratus) daripada jumlah kes harian yang dilaporkan itu, mempunyai sejarah imunisasi COVID-19.

“Tiada kes import COVID-19 yang dilaporkan hari ini, manakala jumlah kes sembuh ialah 16,258 kes,” katanya.

Menurut Dr Noor Hisham, 201 kematian direkodkan hari ini akibat wabak itu, dengan 34 merupakan kes kematian di rumah atau ‘brought-in-dead’.

Beliau berkata, kes aktif COVID-19 di seluruh negara pula ialah 230,762 kes dengan 1,096 pesakit dirawat di Unit Rawatan Rapi dan 570 orang memerlukan bantuan pernafasan.

Katanya, kajian berterusan oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) telah mengenal pasti sebanyak 47 kes varian baharu SARS-CoV-2, yang kesemuanya adalah varian yang membimbangkan (VOC).

Dr Noor Hisham berkata, ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang dijangkiti oleh virus SARS-CoV-2 yang dikategorikan sebagai VOC dan varian perlu perhatian (VOI) adalah sebanyak 667 kes dengan 647 kes adalah VOC manakala 20 kes adalah VOI.

Mengenai kluster baharu, beliau berkata sebanyak 29 kluster baharu dikesan hari ini dengan jumlah yang tertinggi ialah kluster tempat kerja iaitu 17 diikuti kluster komuniti (lapan), kumpulan berisiko (tiga) dan keagamaan (satu).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here