BUTTERWORTH, 10 Ogos  — Kebanyakan pengusaha restoran dan kedai makan di sekitar Pulau Pinang masih belum bersedia untuk membenarkan pelanggan yang lengkap suntikan vaksin COVID-19 untuk makan di premis (dine-in).

Seorang pemilik kedai nasi campur di Bukit Mertajam, Mohd Fauzi Abdul Halim, 50, berkata dia masih belum bersedia untuk memulakan kembali operasi kedai makan kerana bimbang terdapat kes positif COVID-19 di kawasannya.

Menurutnya, kedainya setakat ini hanya membenarkan pelanggan untuk bungkus sahaja kerana dia sendiri belum lengkap suntikan vaksin COVID-19 dan janji temu dos kedua adalah pada bulan depan.

“Memang tidak berani buka (kedai) sebab ada kes (positif COVID-19) di sini. Tapi bagi saya lebih baik bungkus saja sebab lebih selamat, pinggan pun tak perlu basuh,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Ahad lepas, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan beberapa kelonggaran kepada penerima lengkap vaksin COVID-19, membabitkan kemudahan kepada mereka yang lengkap menerima vaksin COVID-19 di negeri-negeri Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) untuk makan di restoran.

Selain itu, seorang pekerja di sebuah restoran nasi kandar berdekatan Penanti, di sini, ingin dikenali sebagai Mustaffa berkata kesemua pekerja restoran itu kira-kira 30 orang masih belum mendapat janji temu untuk suntikan vaksin dos pertama.

Mustaffa berkata majikannya tidak membenarkan pelanggan untuk makan di premis kerana pekerja-pekerja kedai itu masih belum lengkap suntikan vaksin.

“Sekarang cuma buka untuk bungkus sahaja…kena tunggu arahan dari pihak majikan. Berapa lama saya pun tidak pasti. Harap cepatlah,” katanya.

Sementara itu, tinjauan Bernama di sekitar George Town juga mendapati kebanyakan kedai makanan mahupun restoran terletak di dalam pusat beli-belah di Persiaran Gurney juga tidak membenarkan pelanggan makan di premis mereka atas alasan pekerja sendiri masih belum lengkap vaksinasi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here