SEREMBAN, 11 Ogos  — Hampir 90 peratus pekerja sektor pelancongan di Negeri Sembilan telah menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan vaksin COVID-19, kata Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun hari ini.

Beliau berkata kerajaan negeri turut berbincang dengan penggiat industri pelancongan supaya suntikan vaksin dos kedua disegerakan sebelum beralih ke Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN). 

“Mereka perlu bersiap sedia menerima pelancong dari dalam negeri apabila negeri ini dapat beralih ke fasa seterusnya.

“Saya difahamkan sektor pelancongan di negeri ini mula menjual produk dan pakej percutian,” katanya pada sidang media secara dalam talian selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco kerajaan negeri hari ini.

Selain itu, Aminuddin berkata negeri ini perlu menurunkan kes aktif COVID-19 kepada sekurang-kurangnya purata 72 kes seminggu melibatkan kategori tiga, empat dan lima serta pengurangan penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU) untuk beralih ke Fasa Dua PPN.

Katanya ketika ini secara purata kes aktif COVID-19 bagi kategori tersebut masih di paras 500 kes seminggu serta penggunaan katil ICU dan kes harian juga masih meningkat.   

Bagaimanapun, beliau berkata negeri itu telah melepasi sasaran vaksinasi dos kedua dalam kalangan penduduk dewasa iaitu 54 peratus. 

Dalam perkembangan lain, Aminuddin berkata kerajaan negeri mengumumkan penambahan pengecualian bayaran sewaan sebulan lagi bagi gerai, pasar dan kediaman  yang di bawah seliaan pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini.

Beliau berkata sebelum ini pengecualian bayaran sewa diberikan pada bulan Januari, Februari dan Jun, serta terbaru Julai yang memanfaatkan 6,115 gerai dengan anggaran RM2.18 juta.

Pengecualian sewaan rumah Projek Rumah Pangsa Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam Negeri Sembilan pula sehingga bulan depan melibatkan keseluruhan anggaran sewaan sebanyak RM1.6 juta. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here