KUALA LUMPUR, 13 Ogos  — Pelbagai usaha sedang dilaksanakan bagi memperkukuh strategi negara untuk beralih ke fasa Penyusunan Semula dan ini termasuk pendekatan baharu yang diguna pakai Kementerian Kewangan dalam menambah baik proses belanjawan tahunan negara agar lebih telus dan terangkum.

 Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kementeriannya akan mengeluarkan, antara lainnya, Kenyataan Pra-Belanjawan yang menetapkan tema dan bidang fokus Belanjawan 2022 untuk mendorong pemulihan ekonomi, membangun semula daya tahan negara dan memangkin pembaharuan struktur.

“Melangkah ke hadapan, dengan pelancaran Dasar Revolusi Perindustrian Keempat Negara (4IR), pendigitalan dan penggunaan teknologi akan menjadi keutamaan untuk meningkatkan prospek dan daya tahan ekonomi jangka panjang Malaysia, selaras dengan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan bersempena dengan pengumuman data keluaran dalam negara kasar suku kedua oleh Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini. 

Tengku Zafrul berkata dasar ini juga seiring dengan pembaharuan struktur yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan dalam jangka masa sederhana termasuk melalui pelaksanaan kerangka kerja Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA), dan juga inisiatif Perkukuh Pelaburan Rakyat (PERKUKUH).

Selain itu, Rancangan Malaysia Kedua Belas (2021 – 2025) akan menyediakan rangka tindakan untuk pertumbuhan lestari yang bertujuan untuk memperkukuhkan keterangkuman sosioekonomi dan kelestarian alam sekitar.

“Kesemua dasar-dasar tersebut juga selari dengan dasar pembangunan jangka panjang negara, iaitu Wawasan Kemakmuran Bersama 2030,” katanya.

Beliau berkata prospek bagi suku ketiga 2021 (S3 2021) dijangka lebih mencabar berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama dua minggu di sebahagian besar kawasan di Lembah Klang pada bulan Julai, serta Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang berpanjangan di beberapa negeri yang menjadi penyumbang utama kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara.

Bagaimanapun, prospek ini akan diimbangi oleh pelonggaran sekatan kepada penerima vaksin lengkap dan negeri yang telah berjaya beralih ke Fasa 2 dan Fasa 3.

“Prospek bagi suku keempat (S4 2021) dijangka bertambah baik, disokong oleh pemulihan beransur-ansur berikutan pembukaan semula lebih banyak sektor ekonomi dan sosial apabila lebih ramai rakyat telah divaksin.

“Vaksinasi lengkap juga akan mengurangkan beban sistem kesihatan dengan kemasukan ke hospital dan Unit Rawatan Rapi (ICU) yang lebih rendah,” katanya.

Menjelas lebih lanjut Tengku Zafrul berkata, faktor lain yang mendorong pemulihan ekonomi Malaysia termasuklah peningkatan permintaan luar daripada rakan dagangan utama, pemulihan harga komoditi, serta pelaksanaan projek infrastruktur dengan kesan pengganda yang tinggi.

Faktor-faktor ini akan mendukung asas ekonomi negara yang kekal berdaya tahan walaupun dalam tempoh yang mencabar, disokong oleh kecanggihan, kedalaman dan kepelbagaian ekonomi negara yang mana sektor perkhidmatan dan pembuatan menyumbang lebih daripada 80 peratus kepada ekonomi.

Sektor pembuatan dan eksport dijangka menerima manfaat daripada permintaan global bagi produk elektrik dan elektronik (E&E), hidrokarbon seperti minyak mentah dan gas asli serta peralatan pelindungan diri.

“Secara keseluruhan, KDNK 2021 dijangka meningkat antara 3.0 peratus hingga 4.0 peratus seperti yang diumumkan oleh BNM pada hari ini,” katanya.

Menurutnya, keutamaan semasa kerajaan adalah untuk melindungi nyawa daripada ancaman pandemik COVID-19 dan memastikan prospek pertumbuhan ekonomi negara kekal kukuh dalam jangka masa sederhana dan panjang, didorong oleh PPN dan prinsip pengurusan kewangan yang berhemah.

Kerajaan akan terus mengambil langkah strategik, proaktif dan tegas dalam mendepani situasi COVID-19 yang mencabar serta meminimumkan kesan yang berpanjangan ke atas ekonomi akibat krisis ini, katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here