KUALA LUMPUR, 20 Ogos — Menara Kuala Lumpur (KL) adalah antara mercu tanda ikonik di seluruh dunia yang bercahayakan warna ungu sempena pelancaran WeThe15, malam tadi.

WeThe15, gerakan hak asasi manusia baharu yang mewakili 1.2 bilion Orang Kurang Upaya (OKU) atau 15 peratus daripada populasi dunia.

Kempen ini dilancarkan menjelang Sukan Paralimpik Tokyo 2020, yang bertujuan untuk menamatkan diskriminasi terhadap golongan OKU dan bertindak sebagai gerakan global yang secara terbuka berkempen untuk keterlihatan ketidakupayaan, inklusif dan kebolehcapaian.

Majlis Paralimpik Malaysia (PCM) dalam satu kenyataan berkata gerakan itu menyatukan gabungan terbesar organisasi antarabangsa dari dunia sukan, hak asasi manusia, dasar, perniagaan, seni, dan hiburan.

“Menara KL adalah antara 115 mercu tanda ikonik, merangkumi beberapa negara dan zon waktu yang diterangi dengan warna ungu, simbol kecacatan antarabangsa.

“Pencahayaan secara global itu adalah untuk meraikan pelancaran WeThe15, yang berhasrat menjadi gerakan hak asasi manusia terbesar mewakili Orang Kurang Upaya,” menurut PCM.

Mercu tanda lain yang turut diterangi cahaya sempena kempen itu termasuk Skytree Tokyo dan Rainbow Bridge, Air Pancut Jet d’Eau di Geneva, Menara Ostankino di Moscow, Coliseum Rome, London Eye dan Air Terjun Niagara yang merangkumi Kanada dan Amerika Syarikat.

Maklumat lanjut mengenai WeThe15 boleh layari laman webnya di www.WeThe15.org, dan akaun media sosial @ WeThe15 di Instagram dan Twitter.

Sukan Paralimpik Tokyo 2020 akan diadakan dari 24 Ogos hingga 5 Sept.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here