SHAH ALAM, 27 Ogos — Kerajaan negeri Selangor meluluskan dua projek pelaburan pembuatan peralatan perubatan yang mengeluarkan produk peralatan saintifik dan mengukur bernilai kira-kira RM26 juta dalam tempoh Jan hingga Mac 2021.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perdagangan, Perindustrian, Industri Kecil dan Sederhana negeri Datuk Teng Chang Khim berkata daripada jumlah tersebut sebanyak RM14 juta adalah daripada pelaburan tempatan manakala RM12 juta daripada pelaburan asing.

Dalam pada itu, Teng berkata kerajaan negeri menerusi Invest Selangor akan menganjurkan Ekspo Antarabangsa Selangor (SIE Medic 2021) yang merupakan salah satu komponen dalam acara Sidang Kemuncak Peniagaan Antarabangsa Selangor 2021 yang akan diadakan pada 18 hingga 21 Nov 2021 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

“SIE Medic ini akan menghimpunkan pemain-pemain daripada industri bekalan peralatan perubatan dan diagnostik; penjagaan kesihatan; farmasi; hospital yang mempromosikan serta mempamerkan perkhidmatan kesihatan terkini.

“Serentak dengan pameran ini juga, kita akan mengadakan Persidangan Perubatan Antarabangsa Selangor dengan tiga tema utama iaitu vaksinasi, penjagaan warga emas dan kesihatan digital,” katanya ketika menggulung pertanyaan ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pada persidangan DUN Selangor, di sini, hari ini. 

Lau Weng San (PH-Banting) dalam perbahasan terdahulu mengesyorkan kerajaan negeri merangka strategi untuk memberi tumpuan menarik pelaburan dalam industri pembuatan peralatan perubatan berteknologi tinggi di Selangor.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here