KUALA LUMPUR, 2 Sept — Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein kembali mengetuai usaha berkaitan pengurusan pandemik termasuk COVID-19 di bawah Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Mengumumkan perkara itu, Hishammuddin berkata pengesahan terhadap portfolio berkenaan yang sempat beliau galas selama beberapa minggu sebagai Menteri Kanan Luar Negeri sebelum ini, dibuat pada Sidang Khas MKN hari ini.

“Antara arahan utama yang diberikan oleh Perdana Menteri kepada saya sebentar tadi adalah untuk menilai dan memperkemas prosedur operasi standard (SOP) yang telah diumumkan sebelum ini dari semasa ke semasa. 

“Saya percaya, ini merupakan kerja yang berterusan dan memerlukan pendekatan yang inklusif, dan saya sentiasa berbesar hati dan bersedia untuk membuka ruang kepada semua pihak termasuk rakyat bagi memberi pandangan serta maklum balas demi memenuhi kepentingan bersama,” katanya dalam sidang media khas di Kementerian Pertahanan di sini hari ini.

Beliau berkata dalam usaha menuju ke arah fasa endemik bermula hujung Oktober ini, adalah amat penting untuk pendekatan secara menyeluruh dilaksanakan bagi menentukan SOP yang dapat melindungi nyawa serta kesihatan rakyat di samping memastikan pengukuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

Hishammuddin berkata memandangkan kajian SOP dibuat secara segera dan berterusan, beliau mengajak rakyat untuk memberikan maklum balas serta kritikan dan idea konstruktif mengenai SOP COVID-19 kepada MKN atau terus kepadanya.

Beliau berkata apa jua cadangan yang sampai kepadanya, akan dibawa ke Sidang Teknikal MKN dan akhirnya ke Sidang Khas MKN yang dipengerusikan Perdana Menteri untuk dinilai dan diperhalusi, sebelum dikemas kini sebagai SOP baharu.

“Kita ada banyak platform…MKN sendiri ada salurannya dan saya sendiri ada akaun Instagram, Facebook dan Twitter…anda boleh ciap (tweet) kepada saya pada bila-bila masa.

“Jadi, saya memberi peluang ini kepada anda untuk berbuat demikian kerana saya perlu akui kami tidak mempunyai monopoli untuk mengatakan apa yang kami lakukan adalah betul… harapan saya, perancangan kita selepas ini akan boleh terus ditambah baik,” katanya.

Hishammuddin juga berharap SOP seterusnya yang bakal diumumkan oleh kerajaan kelak lebih bersifat menyeluruh, untuk jangka masa panjang, mudah difahami serta paling penting dapat menjamin tiga tonggak utama iaitu, kesihatan, ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

“Situasi sekarang sudah berbeza dengan tahun lepas… tahun ini kita sudah melaksanakan pemberian vaksin secara besar-besaran kepada rakyat yang mana Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) juga menunjukkan perkembangan yang memberangsangkan.

“Maka sekiranya kita dapat membenarkan sedikit kelonggaran terhadap SOP dengan melihat kembali perkara-perkara yang risikonya tidak tinggi tanpa mengira Fasa Satu, Dua atau Tiga seperti dapat pergi ke taman, dapat makan di premis, ini selari dengan pertimbangan ekonomi dan kesihatan,” katanya.

Hishammuddin menegaskan SOP-SOP yang diumumkan adalah bersandarkan amalan terbaik yang juga digunakan di seantero dunia.

“Sebagai bekas Menteri Luar Negeri, saya boleh sahkan tidak ada negara di luar sana terkecuali daripada memikirkan perkara terbaik merintis ke hadapan dalam memerangi COVID-19 namun tiada siapa boleh mendabik dada mengatakan mereka mempunyai formula yang terbaik untuk mengimbangi kesihatan, ekonomi dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here