KUALA LUMPUR, 2 Sept  — Enam lokaliti di Pahang dan dua di Sabah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 4 hingga 17 Sept ini, kata Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Majlis Keselamatan Negara (MKN) Datuk Rodzi Md Saad.

Beliau berkata di Pahang, ia melibatkan tiga perkampungan Orang Asli iaitu Kampung Kuala Terbol, Kampung Pian dan Kampung Lubok Wong di Temerloh; Penjara Penor dan rumah kongsi Pinggiran Goh di Kuantan serta Sempalit di Raub.

Dua lokaliti di Sabah pula membabitkan Taman Keramat dan Angkasa Apartment di Kota Kinabalu.

Sementara itu, PKPD di dua perkampungan Orang Asli Pos Blau iaitu Kampung Batang dan Kampung Blau di Gua Musang, Kelantan serta Kompleks Penjara Bentong, Pahang termasuk kuarters yang sepatutnya tamat esok, dilanjutkan hingga 17 Sept.

PKPD di beberapa lokaliti di Sabah iaitu Kampung Pulau Penampang, University Condominium Apartment 2 dan Rumah Murah Kepayan di Kota Kinabalu; Kampung Baru Pasir Putih dan Kampung Wallace Bay, Pulau Sebatik (Tawau); Perumahan Ladang Cepat Wawasan 7000 dan Ladang Meridian Paitan (Beluran) serta Kampung Gambaron 1 dan Ladang Ribu Bonus (Telupid) ditamatkan esok.

Selain itu PKPD di Kampung Orang Asli Sungai Lebak, Bentong, Pahang dan Taman Nilam (Zon Biru), Langkawi, Kedah turut ditamatkan esok.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here