SIK, 2 Sept — Penduduk di sekitar kawasan kaki Gunung Jerai diminta terus berwaspada dengan sebarang risiko fenomena kepala air susulan keadaan cuaca yang sering hujan di negeri ini sejak beberapa hari lepas.

Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor berkata kejadian kepala air yang berlaku pada bulan lepas menyebabkan keadaan sungai di kawasan itu menjadi cetek dan jika kejadian sama berulang, aliran air akan mudah melimpah ke kawasan sekitar.

“Saya nasihatkan agar penduduk sekitar jaga kesihatan masing-masing, berhati-hati, tengok ramalan cuaca, ikut arahan pihak berkuasa jika ada amaran hujan lebat, mungkin berlaku kejadian itu (kepala air) lagi, kita tak tau.

“Ada pasukan keselamatan yang bertugas di situ…ramalan cuaca beberapa negeri termasuk Kedah, Perlis, Pulau Pinang dan Sarawak, memang tumpuan hujan lebat sehari dua ini, saya minta penduduk sekitar sentiasa berhati-hati,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Pengaturan Pasaran Buah-buahan Bermusim Jeneri (Dokong) ke Pasaran Lembah Klang di Kampung Padang Pulut, Jeneri, di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Muhammad Sanusi meminta sekolah-sekolah agama rakyat dan tahfiz yang belum mendaftar dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah untuk segera berbuat demikian bagi membolehkan bantuan disalurkan.

Beliau berkata 191 sekolah agama rakyat dan tahfiz yang berdaftar telah menerima bantuan RM5,000 bagi setiap sekolah tahun ini dengan keseluruhannya membabitkan peruntukan berjumlah RM955,000.

“Ia membabitkan sekolah menengah agama, sekolah rendah agama, maahad tahfiz dan sekolah pondok…terdapat kira-kira 100 lagi yang belum berdaftar dan kita minta mereka mendaftar.

“Kita faham mereka masih perlu menjelaskan perbelanjaan penyelenggaraan walaupun tidak beroperasi,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Sanusi berkata sebanyak 2,961 tan buah dokong yang dikumpulkan daripada 410 penanam di sekitar Sik dihantar untuk pasaran Lembah Klang tahun ini.

“Harga ladang bagi satu kilogram buah dokong ialah sekitar RM1.50…tahun depan mungkin kita boleh dapatkan pasaran harga yang lebih baik untuk membantu meningkatkan pendapatan penanam-penanam dokong,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here