SIBU, 2 Sept — Bahagian Sibu akan memulakan secepat mungkin pengasingan pesakit positif COVID-19 berisiko rendah di rumah dengan kriteria ketat, menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Sibu (SDDMC).

Ini berikutan kejayaan pemberian dos pertama vaksin COVID-19 kepada 231,348 (91.6 peratus) dan dos lengkap kepada 223,825 (88.6 peratus) populasi dewasa berusia 18 tahun ke atas di bahagian Sibu dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan sehingga semalam dan mencapai indikator semasa untuk Pelan Pemulihan Negara Fasa 3.

Menurut SDDMC, kriteria untuk pengasingan pesakit COVID-19 di rumah adalah sangat ketat dan akan dinilai dengan teliti oleh pegawai perubatan daripada Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) sebelum pesakit positif COVID-19 diputuskan untuk pengasingan di rumah.

“Pesakit positif COVID-19 kategori satu dan dua yang diberi keutamaan tersebut haruslah mematuhi segala nasihat dan amalan yang diarahkan oleh pegawai perubatan untuk memastikan keselamatan pesakit tersebut, keluarga dan orang yang tersayang,” menurut jawatankuasa itu dalam kenyataan hari ini.

Menekankan bahawa tidak semua pesakit positif COVID-19 kategori satu dan dua akan dibenarkan pengasingan di rumah, jawatankuasa itu memaklumkan, setiap pesakit akan dipantau oleh pegawai perubatan secara berkala, diberi Arahan Pengasingan di Rumah (HSO) dan dipakaikan gelang tangan.

Menurut jawatankuasa itu, ubat-ubatan boleh diperoleh di CAC sekiranya rawatan simptomatik diperlukan dan oksimeter nadi mudah alih akan dipinjamkan kepada pesakit tertentu.  

“Pesakit tidak dibenarkan meninggalkan rumah kuarantin dan harus memaklumkan kepada pegawai perubatan yang bertanggungjawab sekiranya berasa sakit dan mengalami masalah pernafasan.

“Untuk sebarang kecemasan, mereka boleh menghubungi pihak Hospital Sibu di talian 084-343 333 sambungan 1162 untuk perkhidmatan ambulans,” menurut jawatankuasa itu.

Untuk pertanyaan lain, mereka boleh hubungi Helpline COVID-19 Hospital Sibu di talian 084-348676.

Selain itu, pesakit positif yang dikuarantin di kediaman sendiri boleh menghubungi 019-8987642 (waktu pejabat) atau 019-7074365 dan 019-7074391.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here