KUALA LUMPUR, 10 Sept — Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen Istanbul (ISGA) Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) di Turki melaksanakan sistem pengurusan aliran penumpang baharu bagi meningkatkan keselamatan para penumpang dan kecekapan operasi.

Pengendali lapangan terbang tersebut dalam satu kenyataan hari ini berkata sistem yang dikenali sebagai Xovis PTS itu adalah sebahagian daripada inisiatif digital Airport 4.0 kumpulan yang bertujuan untuk memudahkan urusan perjalanan di lapangan terbang dalam persekitaran norma baharu.

“Xovis PTS terdiri daripada 184 pengesan canggih yang akan mengesan secara automatik kesesakan di tempat masuk, menyediakan maklumat masa nyata kepada pusat kawalan utama lapangan terbang supaya tindakan yang pantas dapat diambil untuk mengurus dan menangani situasi tersebut.

“Ia juga dilengkapi sistem pengesanan penumpang dan kawasan yang diduduki yang memantau dan mengarahkan penumpang pergi ke barisan atau kemudahan lain sama ada di kaunter imigresen, pusat pemeriksaan keselamatan atau tandas supaya waktu menunggu boleh dikurangkan dan pematuhan penuh penjarakan fizikal dapat dilaksanakan,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh berkata MAHB telah menyegerakan kebanyakan inisiatif digitalnya untuk bersiap sedia bagi menghadapi penyambungan semula perjalanan. 

“ISGA terus mencatatkan pemulihan memberangsangkan seperti yang boleh dilihat menerusi data trafik Ogos yang mana kami merekodkan pergerakan harian tertinggi tahun ini pada 15 Ogos, 2021, iaitu seramai 110,972 penumpang,” katanya.

Mohd Shukrie berkata ISGA mencatatkan jumlah pergerakan penumpang seramai tiga juta orang pada Julai 2021, peningkatan 35 peratus berbanding bulan sebelumnya.

“Angka ini telahpun berada pada 89 peratus daripada prestasi kami sebelum COVID-19,” katanya.

Menurutnya, walaupun pandemik telah menyulitkan lagi proses lapangan terbang, pemulihan rancak ISGA merupakan petanda baik dalam menunjukkan bahawa teknologi dapat menjamin keselamatan dan  kemudahan kepada penumpang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here